Saturday, March 7, 2009

Stres baik untuk anda?

Stres yang positif boleh membuatkan seseorang lebih berhati-hati, fokus dan kreatif dalam kehidupan harian.

RESAH dan cepat marah adalah antara tanda-tanda seseorang mengalami stres. - Gambar hiasan

SEORANG ibu membawa anak lelakinya yang berusia tujuh tahun menemui doktor pakar setelah anaknya mengalami demam berpanjangan sejak memasuki tahun satu sekolah rendah baru-baru ini.

Sebelum itu, doktor yang merawat anak lelakinya memberitahu bahawa dia bebas daripada penyakit yang serius.

"Setiap kali saya bawa anak ke klinik atau hospital, mereka (doktor) hanya bagi ubat untuk demam. Ujian darah pula menunjukkan tiada apa-apa penyakit," kata ibu tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah.

"Anak anda normal. Mungkin dia stres kerana masih belum dapat menyesuaikan diri di persekitaran baru sekolah," itulah antara kata-kata pakar kanak-kanak tersebut kepada Rahimah semasa sesi rawatan di kliniknya.

Menurut pengasas teori stres, Dr. Hans Selye, stres merupakan satu gejala tindak balas yang tidak spesifik oleh individu terhadap beban yang datang dalam bentuk keresahan yang disebabkan cabaran, ancaman atau perubahan yang memerlukan respons.

Bertentangan dengan persepsi orang ramai, stres boleh dibahagi kepada stres yang baik atau positif yang dikenali sebagai eustress dan yang buruk atau negatif, distress.

Seorang pegawai perubatan di sebuah institusi kesihatan di Kuala Lumpur, Dr. S. Mogan berkata, stres yang positif boleh membuatkan seseorang lebih berhati-hati, fokus dan kreatif dalam kehidupan harian.

STRES merupakan satu gejala tindak balas yang tidak spesifik oleh individu terhadap beban yang datang dalam bentuk keresahan. - Gambar hiasan

Katanya, sejarah telah membuktikan perkara itu apabila Alexander Graham Bell berjaya mencipta telefon iaitu satu alat yang mencetuskan revolusi dalam bidang perhubungan, ketika beliau mahu membantu tunangnya yang hilang pendengaran.

Menurut Dr. Mogan, memang sukar untuk memberi definisi mengenai stres kerana ia suatu aspek yang subjektif.

"Kalau anda tanya 10 orang tentang apa yang menyebabkan mereka berasa stres, maka anda akan mendapat 10 jawapan yang berlainan.

"Sebabnya, tiada definisi tentang stres yang dipersetujui semua. Apa yang stres bagi seseorang mungkin perkara yang menyeronokkan atau tiada apa-apa bagi orang lain.

"Contohnya, penunggang motosikal akan berasa gembira apabila dapat memecut kenderaan mereka, tetapi bagi orang lain, ia satu perkara yang menakutkan. Memenangi perlumbaan mungkin lebih stres daripada kalah tetapi itu juga merupakan stres yang baik," kata beliau.

Sementara itu, seorang pendidik, Fatimah Mansur berkata, stres mampu melonjakkan produktiviti seperti ketika pelajar menghadapi peperiksaan.

"Pelajar berusaha lebih keras apabila peperiksaan hampir tiba manakala pekerja di pejabat akan bekerja lebih cepat bila waktu pulang sudah dekat," kata beliau.

Tambahnya, orang ramai perlu mendapat stres yang sesuai untuk produktif dalam kehidupan seharian.

"Anda boleh guna dan gembleng stres untuk menjadi lebih produktif," ujarnya.

Menurut risalah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, antara punca stres ialah beban kewangan, masalah rumah tangga, menunggu terlalu lama, mangsa buli, beban kerja yang tinggi, suasana persekitaran yang tidak sihat, rasa rendah diri, kesesakan jalan raya, dan tragedi.

Seseorang yang mengalami stres akan menunjukkan kegelisahan, risau keterlaluan dan gangguan emosi, insomnia (tidak dapat tidur), kurang fokus terhadap tumpuan kerja serta resah dan cepat marah.

Mereka digalakkan mengambil 10 langkah B iaitu bertenang, bernafas dengan dalam, berkata rileks, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut dan berehat, mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikiran positif. - Bernama
Mengurus kad kredit

Anda seharusnya memahami kebaikan dan keburukan kad kredit yang dibawa bersama di dalam dompet walau ke mana anda berada.

TANPA disedari, kad kredit atau 'kad plastik' kian menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Anda bukan sahaja dapat membeli barangan keperluan harian atau barangan impian dengan sekelip mata, malah anda juga berpeluang membayarnya pada akhir bulan dan boleh membayar dengan amaun yang minimum iaitu lima peratus daripada jumlah keseluruhan hutang.

Walau apa pun yang dikatakan tentang itu atau sekadar untuk menyedapkan hati, soal pinjaman, pembelian atau wang yang digunakan dengan kad kredit tetap dipanggil hutang. Oleh itu, apabila seseorang mencatatkan bajet bulanan atau merancang kewangan bulanan dan tahunan, amaun yang diambil daripada kad kredit akan dimasukkan ke dalam bahagian hutang.

Dalam keadaan ekonomi lembap yang bukan sahaja dihadapi di negara ini bahkan di seluruh dunia, anda hendaklah bijak menahan nafsu ketika membeli-belah. Apatah lagi apabila ingin membayarnya dengan menggunakan kad kredit.

Paling penting, anda seharusnya memahami kebaikan dan keburukan kad kredit yang dibawa bersama di dalam dompet walau ke mana anda berada. Tujuannya, agar anda dapat memahami segala informasi dan tahu mengguna dan mengurusnya dengan baik.

Kebaikan dan keburukan kad kredit

Terdapat beberapa kebaikan atau faedah apabila seseorang mempunyai kad kredit. Faedah paling ketara adalah apabila anda menghadapi kecemasan. Contohnya, anda atau ahli keluarga sakit tenat pada waktu tengah malam, dan perlu dimasukkan ke hospital. Pada saat itu juga, anda tidak menyimpan wang dengan jumlah yang banyak di rumah. Tetapi apabila anda mempunyai kad kredit, masalah kemasukan ke wad dapat diselesaikan dengan sempurna.

Bukan itu sahaja, disebabkan persaingan yang mendadak di antara bank-bank dan institusi kewangan, anda sebagai pengguna sememangnya beruntung kerana setiap kali ingin membuat pembelian atau pembayaran melalui kad kredit, anda juga dapat insentif atau perangsang. Di antaranya ialah ganjaran-ganjaran yang hebat daripada barangan elektrik sehinggalah baucer untuk percutian di dalam atau luar negara dan sebagainya.

sumber: Kosmo
Amaran risiko tanah runtuh di 9 lokasi

KUALA LUMPUR - Beberapa lokasi di kawasan tanah tinggi di negara ini dikenal pasti mengalami hakisan yang merupakan tanda-tanda awal kemungkinan berlakunya risiko tanah runtuh sekiranya tiada pemantauan.

Antara kawasan tersebut ialah Cameron Highlands (Pahang), Bukit Fraser (Pahang), Genting Highlands (Pahang) dan Bukit Bendera (Pulau Pinang).

Pengarah Pusat Penyelidikan Pencegahan Bencana Antarabangsa (IRCDIP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin berkata, kawasan tanah tinggi tersebut berisiko untuk berlaku tanah runtuh dan ia memerlukan perhatian yang serius.

"Ia akan berlaku mengikut bulan dan mengikut data hujan kerana tahap hujan boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, IRCDIP kini turut menumpukan perhatian kepada kawasan dataran tinggi Gerik-Jeli serta laluan Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), jalan-jalan persekutuan serta jalan-jalan negeri.

Sumber: Kosmo

Friday, March 6, 2009

Tugas IPT selesaikan isu Ph.D

KUALA LUMPUR 2 Mac - Setiap institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah pensyarah yang gagal menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (Ph.D) dalam masa ditetapkan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian tidak akan masuk campur dalam hal itu kerana ia tanggungjawab IPT masing-masing.

''Setiap IPT yang menghantar pensyarah mengikuti pengajian Ph.D perlu memastikan mereka yang dihantar bersedia dan boleh menamatkan pengajian.

''IPT perlu cemerlang dalam hal ini, jadi pensyarah yang dipilih untuk mengikuti pengajian itu juga perlu cemerlang,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, IPT dan pensyarah perlu memainkan peranan masing-masing dalam menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pensyarah IPT tempatan yang tidak dapat menamatkan pengajian di peringkat Ph.D dalam masa ditetapkan seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar baru-baru ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron memberi amaran keras kepada pensyarah di IPT supaya melengkapkan pengajian mereka seperti yang dijanjikan dalam kontrak.

Menurut Idris, kegagalan berbuat demikian memberi implikasi besar terhadap kos pembiayaan para pensyarah yang ditanggung kerajaan serta urusan pentadbiran institusi terlibat.

''Pensyarah yang didapati gagal melengkapkan program masing-masing dalam masa yang ditetapkan perlu mengemukakan surat tunjuk sebab mengenai kelewatan itu,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia
Bahasa Melayu bahasa perdana

PUTRAJAYA 6 Mac – Kerajaan komited untuk terus memperkembangkan kepentingan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perdana di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun bahasa Inggeris diberi ruang dalam sistem pelajaran, kerajaan tidak akan berganjak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara pendidikan di negara ini.

‘‘Kita akan terus mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa perdana di negara ini.

Suka saya mengungkap kata-kata Pendeta Zaaba lebih 50 tahun yang lalu bahawa “patutlah bahasa Melayu dilayakkan dari selangkah ke selangkah lagi bagi penggunaan yang lebih maju, lebih besar dan lebih tinggi pula”.

‘‘Begitulah juga pujangga tersohor Melayu, Munsyi Abdullah telah membuktikan bagaimana perkembangan bahasa Melayu boleh dilaksanakan dengan tindakan proaktif beliau terhadap penggunaan teknologi percetakan yang berkembang maju di zamannya,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2009 di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.

Hadir sama, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mutakhir ini perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merancakkan evolusi bahasa Melayu untuk memasuki alam siber.

Katanya, ini memberikan cabaran baru kepada masyarakat penuturnya termasuk untuk bersaing dengan bahasa-bahasa yang lebih dominan dan bersifat sejagat.

‘‘Dalam era ICT, bahasa Melayu seharusnya mengambil peluang daripada pembangunan K-ekonomi untuk turut menyediakan ruang pengetahuan yang cukup kepada masyarakat.

‘‘Bahasa Melayu perlu cukup utuh dan mantap untuk mengemudi masyarakat penuturnya agar bergerak seiring dengan arus pembangunan K-ekonomi dalam dunia yang semakin kompleks,” katanya.

Di persimpangan itu Najib menyatakan, bahasa Melayu diakui masih dianggap muda dari segi pengistilahan sains dan teknologi berbanding bahasa Inggeris.

Justeru beliau berkata, bagi memperkasakan bahasa Melayu, rakyat negara ini tidak seharusnya terlalu taksub sehingga menolak unsur-unsur daripada tamadun luar yang dapat membantu memperkayakan ilmu, teknologi dan kebudayaan.

‘‘Yang penting dalam menghadapi globalisasi ialah sikap dan pertimbangan rasional dalam memilih dan memutuskan perkara yang munasabah untuk dimanfaatkan, bukan menolak asas globalisasi secara melulu,” katanya

Dalam pada itu, beliau menyatakan, penguasaan bahasa asing tidak semestinya melunturkan jati diri dan keintelektualan seseorang.

Sebaliknya kata Najib, penguasaan bahasa asing akan melahirkan jati diri yang lebih utuh dan meningkatkan perasaan sayang kepada bangsa dan bahasanya.

‘‘Harus diingat, bahasa itu jiwa bangsa. Dalam konteks negara Malaysia, penguasaan bahasa asing tidak seharusnya dilihat melunturkan kepentingan bahasa Melayu itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia yang mempunyai peranan dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) boleh mengambil peluang memperkenalkan bahasa Melayu di institusi-institusi pengajian di negara berkenaan melalui pakej pengeksportan ilmu dan kemahiran.

‘‘Selain itu, saya menyarankan agar Kementerian Pengajian Tinggi, Dewan Bahasa dan Pustaka serta syarikat-syarikat penerbitan di negara ini bekerjasama membekalkan bahan bacaan dan rujukan tentang pelbagai aspek tamadun Melayu, Malaysia dan bahkan ASEAN ke institusi terpilih di luar negara secara berterusan,” katanya.

Di dalam negara pula, Najib menekankan agar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mengambil tanggungjawab serius memperkenalkan bahasa dan tamadun Melayu serta Malaysia dalam kurikulumnya.

‘‘Dalam Akta Pendidikan 1996, telah ditegaskan tiga kursus wajib yang mesti diajar di IPTS khususnya kepada pelajar asing iaitu bahasa Melayu, pengajian Malaysia dan agama atau moral.

‘‘Ini kerana dalam usaha kita mahu menjadi pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa, kita tetap mahu unsur-unsur teras tamadun kita diperkenalkan kepada pelajar antarabangsa terutamanya bahasa Melayu,” kata beliau.

Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para peserta pertandingan pidato tersebut kerana menjadikan bahasa Melayu sebagai subjek pilihan mereka.

Beliau turut berharap penganjuran program pidato tersebut dapat menjadi asas yang kukuh untuk menjadikan bahasa Melayu bertaraf supra-nasional serta berkembang subur di mancanegara.

PLUS didik pemandu berdisiplin

KUALA LUMPUR 6 Mac – Di sebalik masalah lumba haram yang berleluasa, PLUS Expressway Bhd. (PLUS) mempunyai langkah tersendiri untuk mendidik pemandu agar lebih berdisiplin.

Caranya adalah dengan menggalakkan penyertaan para pemandu muda di dalam perlumbaan Go-Kart PLUS Rotax Max Challenge 2009 yang dilancarkan hari ini.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Noorizah Abd. Hamid, selain memenuhi tanggungjawab sosial syarikat, kejohanan itu diharap dapat memberi peluang kepada pemandu muda mendalami ilmu sukan permotoran.

“Ia diharap dapat melahirkan generasi pemandu baru yang lebih berdisiplin, cekap dan berhemah sekali gus mampu membendung gejala lumba haram di kalangan remaja,’’ katanya selepas melancarkan kejohanan itu di sini hari ini.

Perlumbaan tersebut akan diadakan di Litar Speedway PLUS, ELITE USJ esok.

Sumber: Utusan Malaysia