Tugas IPT selesaikan isu Ph.D
KUALA LUMPUR 2 Mac - Setiap institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan perlu bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah pensyarah yang gagal menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (Ph.D) dalam masa ditetapkan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementerian tidak akan masuk campur dalam hal itu kerana ia tanggungjawab IPT masing-masing.
''Setiap IPT yang menghantar pensyarah mengikuti pengajian Ph.D perlu memastikan mereka yang dihantar bersedia dan boleh menamatkan pengajian.
''IPT perlu cemerlang dalam hal ini, jadi pensyarah yang dipilih untuk mengikuti pengajian itu juga perlu cemerlang,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, IPT dan pensyarah perlu memainkan peranan masing-masing dalam menyelesaikan masalah tersebut.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu pensyarah IPT tempatan yang tidak dapat menamatkan pengajian di peringkat Ph.D dalam masa ditetapkan seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar baru-baru ini.
Semalam, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron memberi amaran keras kepada pensyarah di IPT supaya melengkapkan pengajian mereka seperti yang dijanjikan dalam kontrak.
Menurut Idris, kegagalan berbuat demikian memberi implikasi besar terhadap kos pembiayaan para pensyarah yang ditanggung kerajaan serta urusan pentadbiran institusi terlibat.
''Pensyarah yang didapati gagal melengkapkan program masing-masing dalam masa yang ditetapkan perlu mengemukakan surat tunjuk sebab mengenai kelewatan itu,'' katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Friday, March 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment