Saturday, October 6, 2007

Rebutlah LailatulQadar

Selamat berpuasa kepada sahabat semua!

Sungguh cepat masa berlalu.Hari ini dah masuk 25 hari kita berpuasa. Sedar tidak sedar, Ramadan yang penuh keberkatan tak lama lagi akan meninggalkan kita.Bagi mereka yang benar-benar menjiwai dan menghayati makna Ramadan tentulah berdukacita kerana bulan-bulan yang mendatang pastinya tidak sama sebagaimana keberkatan yang tersedia untuk beribadah dengan ganjaran berganda seperti di bulan Ramadan ini.


Kita tak pasti samada kita masih berkesempatan mengecapi Ramadan pada tahun-tahun akan datang. Oleh itu marilah kita menggunakan setiap detik yang tersisa ini untuk menggandakan amalan dan ibadah pada hari-hari terakhir ini yang hanya tinggal 5 hari lagi.

Nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah mengajarkan umatnya agar melipatgandakan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan melebihi malam-malam yang lain.Seperti yang ramai sudah maklum, di malam-malam terakhir terkandung satu malam yang dipanggil Lailatulqadar atau Malam al-Qadar yang cukup istimewa bagaikan hadiah tidak ternilai dari Allah buat umat Islam. Ini disebut secara jelas dalam al-Quran: Firman Allah S.W.T, ”Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam al-Qadar. Dan bagaimana engkau dapat mengetahui kebesaran Malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Al-Qadr: 1-5).

Kesungguhan Nabi beribadah telah disebut dalam sebuah Hadis : “Apabila telah masuk bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus).” ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Matlamat utama kita dalam mengejar malam al-Qadar ini bukanlah sekadar untuk kita mengharapkan doa kita yang bersifat kebendaan semata-mata dimakbulkan Allah. Sebaliknya, matlamat untuk mengejar malam al-Qadar adalah bagi mendapatkan kerahmatan dan keampunan Allah di atas segala apa yang telah segala kesilapan dan dosa yang telahdilakukan di atas muka bumi ini.

Nabi S.A.W. telah mengajar kita untuk berdoa; ”Ya Allah sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan”.
Oleh itu marilah kita sama-sama merebut peluang dan kesempatan ini meningkatkan amalan ibadah agar hidup lebih bermakna di dunia dan akhirat kelak.

No comments: