Friday, July 17, 2009

MOTIVASIKAN DIRI DALAM KERJAYA

Pernahkah anda rasa tidak ingin bekerja atau tidak ada motivasi untuk melaksanakan segala tugasan yang diamanahkan pada suatu hari? Rasa bosan akan tugasan seharian pasti pernah menyelubungi anda. Keadaan menjadi lebih mengusutkan apatah lagi memiliki bos yang cerewet, rakan setugas yang tidak memberi kerjasama dan timbunan tugasan yang harus diselesaikan dalam jangka masa yang terhad.

Reaksi pertama yang mula terpancar difikiran anda mungkin adalah mencari pekerjaan lain, namun hakikatnya masalah tersebut masih tidak dapat diselesaikan. Untuk meningkatkan motivasi diri di tempat kerja, apa kata anda mengikuti tips berikut:


1. Kompromi Dengan Pihak Atasan

Tidak dapat dinafikan bahawa pihak atasan bukanlah pihak yang mudah diajak berbincang terutamanya ketika anda berhadapan dengan masalah peribadi. Apabila anda terlalu memikirkan permasalahan peribadi, ia akan menyebabkan prestasi kerja anda terjejas. Anda haruslah bijak mengasingkan masalah kerja daripada masalah peribadi. Terimalah hakikat bahawa pihak atasan tidak selalunya sependapat dengan anda. Cubalah mengatasi masalah itu dengan sebaik mungkin, Luangkan masa untuk menilai usaha anda dari pelbagai sudut. Pelajarilah kemahiran baru bagi memantapkan karier anda.

2. Proaktif

Jangan biarkan pihak atasan menunggu laporan mingguan anda. Sebaliknya, cubalah bersikap proaktif dengan mengambil inisiatif menyiapkan segala laporan sebelum diminta oleh pihak atasan. Ini dapat membuktikan kebolehan anda dalam melakukan kerja seharian. Kelak, peluang anda untuk memperolehi insentif atau ganjaran seperti kenaikan gaji atau bonus adalah lebih cerah kerana anda telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan!

3. Tentukan Matlamat Atau Hala Tuju

Selalulah menetapkan matlamat yang hendak dicapai dalam pemikiran anda. Namun begitu, hala tuju tersebut haruslah konkrit kerana ia akan memberi gambaran yang jelas mengenai susun atur karier anda dan juga untuk memotivasikan diri.

4. Luaskan Pergaulan

Sebaik-baiknya jalinlah hubungan yang baik dengan setiap individu yang berada di sekeliling anda. Tidak kira individu tersebut adalah seorang klien, penyelia mahupun rakan sekerja. Dengan mengekalkan hubungan baik ini, ia dapat membantu mengembangkan dan meningkatkan prestasi kerja anda.

5. Banyak Bersabar


Kemantapan karier tidak mungkin akan dicapai dalam sekelip mata. Sebaik-baiknya, fikirkan apa yang ingin anda lakukan. Jangan sekali memandang rendah akan kerja atau posisi anda atau menganggapnya tidak sesuai untuk anda. Anggaplah ia sebagai satu permulaan atau batu loncatan untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dalam karier anda pada masa akan datang

6. Belajar dari Kesilapan

Proses pembelajaran merupakan suatu proses yang berterusan. Tidak ada padahnya untuk anda mempelajari tugasan lain meskipun anda tidak terlibat secara langsung dalam tugasan tersebut. Melalui cara ini, anda dapat berfikir secara kreatif dari pelbagai sudut. Ini akan memberi bonus kepada kerjaya anda!

No comments: