Showing posts with label alam sekitar. Show all posts
Showing posts with label alam sekitar. Show all posts

Saturday, June 20, 2009

Sentral: Petronas, Fomca semai cara hidup lestari


KUALA LUMPUR: Petronas kini bekerjasama dengan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) melalui Kempen Konsumer Kebangsaan (3K) dalam usaha menggalakkan rakyat Malaysia untuk lebih bertanggungjawab dalam kehidupan mereka serta menyemai konsep cara hidup lestari.

Naib Presiden Bahagian Khidmat Korporatnya, Ahmad Nizam Salleh, berkata sebagai antara syarikat yang sering terbabit dalam isu pengguna di negara ini, pihaknya amat prihatin dalam usaha mempertingkatkan kualiti pendidikan terutama dalam aspek kepenggunaan.

“Syarikat kami sangat menyokong kempen seumpama ini yang dapat mendidik rakyat untuk menghadapi kemungkinan yang dibawa kegawatan ekonomi dunia selain pelbagai krisis seperti kenaikan harga barang.

“Kami akan mengambil bahagian dalam aktiviti 3K ini dalam membantu Fomca menjalankan usaha mendidik masyarakat supaya menjadi pengguna berhemah menguruskan kewangan mereka,” katanya.



Kami juga turut melaksanakan beberapa langkah menjimatkan kos perbelanjaan di setiap aspek operasi iaitu dengan memasang lampu jimat tenaga serta menaikkan suhu pendingin hawa ke tahap optimum,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kolaborasi Petronas dalam program 3K, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Fomca, Datuk N Marimuthu dan Pengurus Besar Petronas, Rosli Rahim.

Sementara itu, Marimuthu berkata, pihaknya kini lebih fokus dan akan terus berusaha meningkatkan kempen yang sudah diatur selama empat tahun sehingga mencapai matlamatnya.

“Kami sangat menghargai pembabitan syarikat korporat lebih-lebih lagi Petronas yang sering terbabit dengan isu kepenggunaan. Diharapkan kerjasama ini akan dapat membantu kami serta rakan usaha sama lain mendidik pengguna negara ini dengan ke arah gaya hidup lebih lestari,” katanya.

sumber: Berita Harian

Saturday, March 7, 2009

Amaran risiko tanah runtuh di 9 lokasi

KUALA LUMPUR - Beberapa lokasi di kawasan tanah tinggi di negara ini dikenal pasti mengalami hakisan yang merupakan tanda-tanda awal kemungkinan berlakunya risiko tanah runtuh sekiranya tiada pemantauan.

Antara kawasan tersebut ialah Cameron Highlands (Pahang), Bukit Fraser (Pahang), Genting Highlands (Pahang) dan Bukit Bendera (Pulau Pinang).

Pengarah Pusat Penyelidikan Pencegahan Bencana Antarabangsa (IRCDIP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin berkata, kawasan tanah tinggi tersebut berisiko untuk berlaku tanah runtuh dan ia memerlukan perhatian yang serius.

"Ia akan berlaku mengikut bulan dan mengikut data hujan kerana tahap hujan boleh menyebabkan berlakunya tanah runtuh,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, IRCDIP kini turut menumpukan perhatian kepada kawasan dataran tinggi Gerik-Jeli serta laluan Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE), jalan-jalan persekutuan serta jalan-jalan negeri.

Sumber: Kosmo

Monday, February 23, 2009

Membina Masyarakat Mesra Alam Sekitar

ALAM sekitar aset paling bernilai dianugerahkan Allah s.w.t kepada manusia dan seharusnya dimanfaatkan dengan penuh hemah. Dengan hamparan hutan menghijau, sungai membekalkan sumber air, bukit-bukau dan gunung-ganang terpacak kukuh memukau mata memandang.

Demikian indahnya khazanah alam ciptaan Allah untuk manusia agar dapat melalui kehidupan di dunia dalam aman sejahtera dan tenteram jiwa.

Namun, arus pemodenan dan pembangunan sudah menghanyut dan melalaikan manusia sehingga sewenang-wenangnya menodai sumber alam tanpa memikirkan akibatnya.

Contohnya sungai, jika dulu ia menjadi sumber kehidupan, malah faktor sungai mewujudkan tamadun awal dunia.

Tamadun Mesir terbina lantaran adanya sungai Nil yang menjadi pembekal sumber air dan sumber protin kepada penduduknya.

Begitulah juga sungai Nil menjadi penghubung penting sama ada menghubungkan kawasan pedalaman atau luar.

Di negara kita pun apa kurangnya dengan tamadun di Lembah Bujang, Kedah, yang wujud kerana faktor sungai.

Itu semua tinggalan sejarah. Sungai sekarang menjadi ‘lokasi utama’ untuk membuang sampah dan sisa pepejal yang mengundang pencemaran yang mengancam ekologi kehidupan air.

Air sungai menjadi tidak selamat lagi untuk diminum, malah kadar toksiknya menyebabkan pelbagai penyakit.

Lantaran kroniknya keadaan sungai di negara kita, pada 1993 kerajaan melancarkan Kempen Cintai Sungai Kita untuk menyedarkan masyarakat agar sentiasa peka dan menjaga kebersihan sungai demi kesihatan dan generasi akan datang.

Bagaimana kesannya kempen berkenaan? Adakah ia banyak menginsafkan rakyat Malaysia mengenai kesan buruk jika sungai kotor dan penuh bahan toksik?

Jika kita perhatikan secara teliti, kempen itu seakan-akan bergerak di sebelah pihak saja, maksudnya kerajaan dan beberapa syarikat swasta atau badan bukan kerajaan yang bersungguh-sungguh menjayakannya, sedangkan masyarakat memandang ringan sahaja.

Kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk membaik pulih dan memelihara sungai supaya bersih dan selamat digunakan sedangkan masyarakat dan sesetengah kilang memusnahkan kembali sungai.

Sisa toksik dan pepejal kilang dengan mudah disalurkan ke dalam sungai tanpa rasa bersalah.

Pelbagai akta digubal dan dikuatkuasakan demi menjaga kebersihan alam sekitar, termasuk sungai, namun apa yang ketara berita pencemaran sungai masih berlaku.

Inilah akibatnya jika manusia hanya nampak aspek keuntungan yang bersifat sementara, tetapi kesan jangka panjang tidak diambil kira.

Di sini jelas menampakkan kurangnya kerjasama dan keprihatinan rakyat dalam menjaga kebersihan sungai.

Langkah pembetulan sikap dan anjakan minda seharusnya digiatkan terhadap semua pihak supaya sungai kekal bersih dan boleh digunakan dengan selamat.

Malah, sungai bersih dan indah akan menjadi tarikan pelancong, tetapi jika kotor dan penuh sampah-sarap ia menggambarkan sikap buruk masyarakat kita di mata pelancong luar.

Justeru, sikap tidak cakna menjaga kebersihan sungai mesti dipulihkan segera.

Khazanah hutan turut mengalami nasib sama. Apa yang terjadi memang menyedihkan apabila kawasan hutan belantara semakin digondolkan demi mengaut keuntungan lumayan.

Penebangan balak secara besar-besaran tanpa kawalan dan tanpa pendekatan pemuliharaan yang baik boleh melenyapkan warisan negara yang amat bernilai.

Hidupan liar akan pupus akibat kerakusan manusia. Kita tahu negara ada kawasan hutan diwartakan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan tetapi kawasan hutan yang lain seharusnya dikawal supaya spesies hidupan liar berada di habitat sepatutnya dan sentiasa kekal membiak demi ekologi hutan.

Hutan rimbun menghijau menjadi lokasi pelancongan sangat digemari pelancong, sekali gus menjadi sumber ekonomi kepada Malaysia.

Kita tidak mahu melihat lagi seperti dilaporkan dalam akhbar di kawasan Hutan Simpan Rimba Teloi, Kedah, baru-baru ini.

Ia diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan beratus-ratus pokok balak, termasuk kayu berkualiti ditebang.

Kejadian itu menggambarkan sikap buruk sesetengah pihak yang tidak mengendahkan undang-undang dan bertindak menurut nafsu serakah untuk mencari keuntungan tanpa memikirkan kesan buruk kepada ekologi hutan dan habitat hidupan liar di kawasan itu.

Banjir dan kejadian tanah runtuh banyak disebabkan faktor hutan diteroka tanpa mengikut garis panduan.

Lantas, kawasan tadahan hujan menjadi semakin mengecil dan kemudian memudahkan aliran air merebak ke kawasan lain.

Walaupun negara kita sudah ada Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kesedaran rakyat mengenai kepentingan hutan dan hidupan liar harus digembleng secara proaktif untuk mewujudkan rakyat yang mencintai khazanah alam sekitar.

Satu lagi tabiat buruk mengganggu alam sekitar ialah sikap membuang sampah di merata tempat.

Menurut kajian, umumnya setiap pengguna di Malaysia dianggarkan mewujudkan 0.9 hingga 1 kilogram sampah-sarap atau sisa setiap hari. Pengguna kita dianggarkan menjana lebih kurang 20 tan metrik sampah-sarap setiap tahun.

Dalam hal ini, senario sampah-sarap berselerak di merata kawasan tanpa mengendahkan undang-undang yang terpampang pada papan tanda amaran menjadi pemandangan lazim.

Sikap begini seharusnya sudah lama pupus dalam diri setiap rakyat Malaysia kerana negara sudah membangun.

Usaha memupuk kesedaran wajar dimulakan sejak usia muda, jadi ibu bapa mesti menjadi penggerak utama.

Begitu juga di sekolah, satu kurikulum perlu digubal sebagai mata pelajaran supaya generasi pelapis negara dapat menanam sikap mencintai alam sekitar di jiwa masing-masing.

Kegiatan kokurikulum juga boleh dijadikan wadah berkesan dengan menubuhkan kelab alam sekitar atau kelab pencinta alam.


Ingatlah amaran Allah dalam Surah An-Naziaat ayat 30-33 yang bermaksud: “Dan bumi sesudah itu dihamparkan (untuk kemudahan penduduknya). Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi) sebagai pasak yang menetapnya (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang ternakan kamu.’

Nabi s.a.w pula berpesan yang bermaksud: “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.’ (Hadis riwayat Muslim).

Sumber Maklumat : Harian Metro, 4 Februari 2009