Friday, July 17, 2009

BIJAK MENGURUSKAN MASA

Pengurusan masa yang bijak amat penting dalam alam pekerjaan yang kian mencabar pada zaman globalisasi ini. Jadi di bawah ini disertakan tips mengurus masa dengan berkesan.

1. Buatlah Jadual Kerja Harian

Kadangkala, anda sendiri tidak menyedari kesilapan yang telah anda lakukan. Anda mungkin akan terlupa sesuatu janji temu dengan pelanggan. Keadaan ini terjadi adalah kerana anda tidak mempunyai jadual kerja yang teratur:

Cara yang paling baik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan membuatkan satu jadual kerja tentang apa yang anda ingin lakukan pada hari ini, keesokan hari, lusa, tulat dan hari-hari seterusnya sebelum masuk tidur. Jangan lupa senaraikan tugasan itu mengikut keutaman. Mula-mula, anda letakkan tugasan yang paling penting di nombor satu yakni memerlukan tindakan segera. Kemudian diikuti dengan kerja rutin yang biasa anda lakukan.

Percayalah, jika anda mempunyai satu jadual kerja yang lengkap, anda tidak terlupa sesuatu kerja yang memerlukan perhatian segera. Pastikan juga anda mengemas meja yang berselerak kerana ia akan menyerabutkan lagi fikiran anda yang telah kusut.

2. Patuhi Jadual Yang Telah Dirancang

Jangan sesekali mengubah jadual yang telah anda rancang kecuali muncul hal kecemasan. Ini adalah kerana jika anda gagal bekerja mengikut jadual tersebut, alamatnya anda akan bekerja dalam keadaan kelam-kabut. Tidak mustahil juga anda akan dimarahi oleh ketua kerana gagal melaksanakan tanggungjawab. Jika tiba-tiba ada perkara kecemasan yang memerlukan tindakan segera, dahulukanlah perkara tersebut dan kemudian ikuti semula jadual yang telah anda susun.

3. Jadual Harian Memotivasikan Diri

Tandailah tugas yang telah anda siapkan. Perlakuan ini mungkin nampak remeh tetapi sebenarnya ia dapat memotivasikan anda untuk terus berusaha. Ia juga akan memberikan anda semangat untuk meneruskan kerja yang belum siap dan memerlukan tindakan segera.

4. Gunakan Waktu Terluang Dengan Sebaik-baiknya

Kebiasannya, bukan semua janji temu akan berlangsung tepat pada waktunya. Kejadian ini mungkin diakibatkan oleh kesesakan jalan raya. Jadi, jangan anda sesekali membazirkan masa menunggu dengan melakukan perkara yang tidak bermanfaat. Sebaliknya gunakan masa itu untuk menghubungi pelanggan lain. Secara tidak langsung, anda mungkin telah mencapai satu peluang lagi.

No comments: