Friday, July 17, 2009

25 PETUA UNTUK DISENANGI


Adalah penting untuk mempunyai ramai kenalan kerana ia boleh membantu melancarkan perjalanan karier anda. Anda akan mudah mendapat kerjasama yang diperlukan dalam apa jua hal. Ini secara tidak langsung bukan sahaja memudahkan kerja anda tetapi juga menghasilkan banyak peluang untuk anda mempertingkatkan diri dalam kerjaya. Oleh hal yang demikian, mulai sekarang, anda perlulah berkenalan dengan seramai orang yang mungkin. Namun bukan semua orang mudah mendapat kenalan baru ataupun mengekalkan perhubungan tersebut. Hakikatnya, ia sebenarnya bukan suatu perkara yang sukar. Cubalah mengikuti 25 petua yang tertera di bawah ini.

1. Jangan sombong. Baik dari segi pergerakan badan, pandangan mata ataupun pertuturan. Anda tidak akan rugi apa-apa jika bersikap rendah diri.

2. Jangan lokek dengan senyuman. Walaupun senyuman amat penting, namum janganlah anda senyum tidak menentu, nanti anda akan dikatakan gatal pula.

3. Tunjukkan keikhlasan anda. Anda perlu ingat bahawa semua orang ingin dihargai dan merasa diperlukan. Jangan senyum atau menegur orang hanya ketika anda tidak mempunyai kawan. Setelah mendapat kawan, janganlah pula anda lupa bertegur sapa dengan orang lain.

4. Percaya akan diri sendiri. Kebanyakan orang senang bergaul atau berkawan dengan mereka yang mempunyai rasa percaya terhadap diri sendiri.

5. Mempunyai pendirian teguh. Secara umumnya ramai orang lebih menghargai mereka yang berani mengutarakan pendapat. Namun demikian, anda perlu pandai membawa diri, jangan berani secara membuta tuli. Bak kata pepatah “Hanya orang bodoh sahaja yang akan bercakap ketika ‘para malaikat’ sekalipun tidak berani membuka mulut”.

6. Bersikap terbuka. Walaupun mempunyai pendapat sendiri, anda mestilah mendengar pendapat orang lain juga.

7. Jangan suka memotong percakapan orang lain kecuali betul-betul tidak mempunyai pilihan lain. Pastikan anda melakukannya secara halus dan berdiplomasi.

8. Berikan imej yang baik. Jangan bercakap terlalu lama supaya orang lain juga berpeluang untuk bersuara. Ketika anda berada di kalangan ramai, berusahalah agar kehadiran anda dirasai oleh mereka.

9. Jangan sesekali meminta pertolongan orang lain terutamanya pertolongan yang melibatkan hal peribadi sebelum benar-benar mengenali mereka. Ini adalah kerana sesetengah orang kurang senang dengan orang yang gemar meminta pertolongan.

10. Meminta pendapat atau buah fikiran adalah lebih baik daripada meminta bantuan terus. Cara begini akan lebih menimbulkan rasa simpati dan keinginan orang lain untuk membantu anda.

11. Balaslah panggilan telefon orang lain dengan sopan. Cara ini akan membuatkan mereka rasa senang hati untuk menjawab panggilan anda pada masa depan.

12. Hubungi kenalan anda secara rutin. Bukannya apa, sekadar bertanya khabar atau ‘say hello’. Ini penting agar mereka tidak melupakan anda.

13. Sentiasa menjaga perhubungan dengan menghantar kad perayaan atau tahun baru.

14. Jangan cara berkomunikasi anda terutamanya dengan mereka yang sering memberi informasi yang berguna. Gunakanlah bahasa yang bersesuaian dan nada yang terkawal.

15. Sentiasa menjaga penampilan anda. Ini adalah kerana sesetengah orang suka menilai orang dari segi luaran. Tetapi jangan anda turut berbuat sedemikian ketika berurusan dengan pelanggan. Anda juga perlu mengenakan pakaian mengikut situasi agar dapat diterima dalam apa juga keadaan dan golongan orang.

16. Mempunyai cita-cita dan selalu bergerak aktif. Orang yang mempunyai matlamat dan giat berusaha memang sentiasa disenangi. Jangan menunggu sesuatu untuk berlaku sebaliknya berusahalah agar sesuatu itu terjadi.

17. Jangan senang berputus asa, sebaliknya selalu tampil optimis.

18. Berikan penghargaan kepada mereka yang telah menghulurkan bantuan walaupun bantuan itu kecil. Setakat mengucapkan terima kasih sudah memadai bagi menjaga perhubungan.

19. Elakkan diri daripada bergosip. Jika anda tidak dapat mengelakkan, adalah lebih baik bagi anda menjadi pendengar sahaja dan bukannya penyebar. Orang yang suka bergosip tentang orang lain akan dipandang serong.

20. Walaupun anda tidak suka bersosial, namum apa salahnya anda sesekali memenuhi undangan. Jangan sampai anda dicap sebagai anti social.

21. Sebelum menegur kesilapan orang lain, selidik dahulu keperibadiannya. Dia mungkin adalah seorang yang tidak dapat menerima teguran.

22. Sentiasa berfikiran matang.

23. Jangan cepat rasa bangga diri apabila dipuji. Ini adalah kerana kadang-kadang pujian itu tidak ikhlas dan hanya untuk mengambil hati.

24. Jangan cepat melenting apabila dikritik. Sentiasalah berfikiran positif.

25. Banyak membaca terutamanya surat akhbar. Selain sebagai pengetahuan am, ia juga membantu anda memahami topik perbualan orang lain sekali gus mendorong orang lebih menghormati anda.

No comments: