Monday, February 23, 2009

Membina Masyarakat Mesra Alam Sekitar

ALAM sekitar aset paling bernilai dianugerahkan Allah s.w.t kepada manusia dan seharusnya dimanfaatkan dengan penuh hemah. Dengan hamparan hutan menghijau, sungai membekalkan sumber air, bukit-bukau dan gunung-ganang terpacak kukuh memukau mata memandang.

Demikian indahnya khazanah alam ciptaan Allah untuk manusia agar dapat melalui kehidupan di dunia dalam aman sejahtera dan tenteram jiwa.

Namun, arus pemodenan dan pembangunan sudah menghanyut dan melalaikan manusia sehingga sewenang-wenangnya menodai sumber alam tanpa memikirkan akibatnya.

Contohnya sungai, jika dulu ia menjadi sumber kehidupan, malah faktor sungai mewujudkan tamadun awal dunia.

Tamadun Mesir terbina lantaran adanya sungai Nil yang menjadi pembekal sumber air dan sumber protin kepada penduduknya.

Begitulah juga sungai Nil menjadi penghubung penting sama ada menghubungkan kawasan pedalaman atau luar.

Di negara kita pun apa kurangnya dengan tamadun di Lembah Bujang, Kedah, yang wujud kerana faktor sungai.

Itu semua tinggalan sejarah. Sungai sekarang menjadi ‘lokasi utama’ untuk membuang sampah dan sisa pepejal yang mengundang pencemaran yang mengancam ekologi kehidupan air.

Air sungai menjadi tidak selamat lagi untuk diminum, malah kadar toksiknya menyebabkan pelbagai penyakit.

Lantaran kroniknya keadaan sungai di negara kita, pada 1993 kerajaan melancarkan Kempen Cintai Sungai Kita untuk menyedarkan masyarakat agar sentiasa peka dan menjaga kebersihan sungai demi kesihatan dan generasi akan datang.

Bagaimana kesannya kempen berkenaan? Adakah ia banyak menginsafkan rakyat Malaysia mengenai kesan buruk jika sungai kotor dan penuh bahan toksik?

Jika kita perhatikan secara teliti, kempen itu seakan-akan bergerak di sebelah pihak saja, maksudnya kerajaan dan beberapa syarikat swasta atau badan bukan kerajaan yang bersungguh-sungguh menjayakannya, sedangkan masyarakat memandang ringan sahaja.

Kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk membaik pulih dan memelihara sungai supaya bersih dan selamat digunakan sedangkan masyarakat dan sesetengah kilang memusnahkan kembali sungai.

Sisa toksik dan pepejal kilang dengan mudah disalurkan ke dalam sungai tanpa rasa bersalah.

Pelbagai akta digubal dan dikuatkuasakan demi menjaga kebersihan alam sekitar, termasuk sungai, namun apa yang ketara berita pencemaran sungai masih berlaku.

Inilah akibatnya jika manusia hanya nampak aspek keuntungan yang bersifat sementara, tetapi kesan jangka panjang tidak diambil kira.

Di sini jelas menampakkan kurangnya kerjasama dan keprihatinan rakyat dalam menjaga kebersihan sungai.

Langkah pembetulan sikap dan anjakan minda seharusnya digiatkan terhadap semua pihak supaya sungai kekal bersih dan boleh digunakan dengan selamat.

Malah, sungai bersih dan indah akan menjadi tarikan pelancong, tetapi jika kotor dan penuh sampah-sarap ia menggambarkan sikap buruk masyarakat kita di mata pelancong luar.

Justeru, sikap tidak cakna menjaga kebersihan sungai mesti dipulihkan segera.

Khazanah hutan turut mengalami nasib sama. Apa yang terjadi memang menyedihkan apabila kawasan hutan belantara semakin digondolkan demi mengaut keuntungan lumayan.

Penebangan balak secara besar-besaran tanpa kawalan dan tanpa pendekatan pemuliharaan yang baik boleh melenyapkan warisan negara yang amat bernilai.

Hidupan liar akan pupus akibat kerakusan manusia. Kita tahu negara ada kawasan hutan diwartakan sebagai Taman Negara dan Hutan Simpan tetapi kawasan hutan yang lain seharusnya dikawal supaya spesies hidupan liar berada di habitat sepatutnya dan sentiasa kekal membiak demi ekologi hutan.

Hutan rimbun menghijau menjadi lokasi pelancongan sangat digemari pelancong, sekali gus menjadi sumber ekonomi kepada Malaysia.

Kita tidak mahu melihat lagi seperti dilaporkan dalam akhbar di kawasan Hutan Simpan Rimba Teloi, Kedah, baru-baru ini.

Ia diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan beratus-ratus pokok balak, termasuk kayu berkualiti ditebang.

Kejadian itu menggambarkan sikap buruk sesetengah pihak yang tidak mengendahkan undang-undang dan bertindak menurut nafsu serakah untuk mencari keuntungan tanpa memikirkan kesan buruk kepada ekologi hutan dan habitat hidupan liar di kawasan itu.

Banjir dan kejadian tanah runtuh banyak disebabkan faktor hutan diteroka tanpa mengikut garis panduan.

Lantas, kawasan tadahan hujan menjadi semakin mengecil dan kemudian memudahkan aliran air merebak ke kawasan lain.

Walaupun negara kita sudah ada Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kesedaran rakyat mengenai kepentingan hutan dan hidupan liar harus digembleng secara proaktif untuk mewujudkan rakyat yang mencintai khazanah alam sekitar.

Satu lagi tabiat buruk mengganggu alam sekitar ialah sikap membuang sampah di merata tempat.

Menurut kajian, umumnya setiap pengguna di Malaysia dianggarkan mewujudkan 0.9 hingga 1 kilogram sampah-sarap atau sisa setiap hari. Pengguna kita dianggarkan menjana lebih kurang 20 tan metrik sampah-sarap setiap tahun.

Dalam hal ini, senario sampah-sarap berselerak di merata kawasan tanpa mengendahkan undang-undang yang terpampang pada papan tanda amaran menjadi pemandangan lazim.

Sikap begini seharusnya sudah lama pupus dalam diri setiap rakyat Malaysia kerana negara sudah membangun.

Usaha memupuk kesedaran wajar dimulakan sejak usia muda, jadi ibu bapa mesti menjadi penggerak utama.

Begitu juga di sekolah, satu kurikulum perlu digubal sebagai mata pelajaran supaya generasi pelapis negara dapat menanam sikap mencintai alam sekitar di jiwa masing-masing.

Kegiatan kokurikulum juga boleh dijadikan wadah berkesan dengan menubuhkan kelab alam sekitar atau kelab pencinta alam.


Ingatlah amaran Allah dalam Surah An-Naziaat ayat 30-33 yang bermaksud: “Dan bumi sesudah itu dihamparkan (untuk kemudahan penduduknya). Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi) sebagai pasak yang menetapnya (semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang ternakan kamu.’

Nabi s.a.w pula berpesan yang bermaksud: “Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.’ (Hadis riwayat Muslim).

Sumber Maklumat : Harian Metro, 4 Februari 2009

No comments: