Friday, July 3, 2009

TINGKATKAN KEYAKINAN DIRI DI TEMPAT KERJA

Anda kurang berkeyakinan di tempat kerja? Usah bimbang, setiap masalah pasti ada jalan menyelesaikannya. Untuk meningkatkan keyakinan diri, mula-mula, anda perlu berfikiran positif terhadap bidang kerja, rakan-rakan sekerja dan pihak atasan. Yang berikut mungkin dapat membantu anda meningkatkan keyakinan diri.

1. Sediakan Penunjuk Jalan

Seperti juga pengembara, anda turut memerlukan satu peta ataupun petunjuk jalan yang lengkap agar tidak terpesong haluan. Anda perlu menyediakan satu peta yang menyeraikan perkara-perkara yang sering mengundang rasa kurang yakin. Sebagai contoh, anda mungkin kurang berkeyakinan setiap kali perlu membuat pembentangan ataupun semangat anda lambat pulih selepas melakukan sesuatu kesilapan.

Dengan adanya senarai seumpama itu, anda akan lebih jelas tentang tahap keyakinan anda sekali gus dapat memperbaiki keyakinan diri. Anda perlu berfikiran positif dan yakin bahawa anda mampu melakukan apa jua hal. Yakini yang anda berhak membuat pilihan dan juga mampu membuat keputusan terbaik di tempat kerja. Jangan beranggapan bahawa anda tidak mampu mengubah sesuatu perkara. Anda perlu sentiasa menumpukan perhatian dan menenangkan diri agar dapat mencapai impian anda. Paling penting, jangan memberi terlalu banyak tekanan kepada diri sendiri. Anda perlu menyedai bahawa perubahan tidak akan berlaku dalam sekelip mata.

2. Tidak Perlu Rasa Malu

Katakan anda baru sahaja bekerja di sesebuah syarikat ataupun baru sahaja dipindahkan ke jabatan lain, bagaimana anda hendak mengatasi rasa malu dan mencari kawan baru? Sebenarnya perasaan malu hanyak akan timbul apabila anda terlalu memberi perhatian pada diri sendiri. Anda rasa takut dan tidak selamat apabila dalam kelompok yang baru. Oleh hal yang demikian, mulakan langkah anda dengan memberi perhatian pada orang lain. Carikan persamaan anda dengan mereka dan juga tunjukkan minat setiap kali berbicara dengan mereka – jangan sekadar mengangguk tanpa berfikir.

Semasa berbual, pastikan anda menyebut nama mereka setiap kali bercakap. Ini bukan sahaja dapat menunjukkan keprihatinan anda, malah juga membantu anda mengingati nama mereka. Akan tetapi yang paling penting adalah senyuman. Jangan pandang rendah akan kuasa senyuman. Setiap kali anda bersenyum, anda bukan sahaja akan dilihat sebagai seorang yang mudah didampingi, tetapi juga nampak lebih menarik daripada mereka yang muka masam.

3. Ambil Risiko

Mungkin agak sukar, tapi dengan mengambil risiko sebenarnya dapat meningkatkan keyakinan anda. Anda perlu bersikap positif dan bersiap sedia dengan apa yang bakal dihadapi. Jangan takut untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah anda lakukan sebelum ini.


4. Jangan Takut Pada Kritikan

Ramai orang sering terperangkap dalam emosi sendiri setelah diri atau kerjaya dikritik. Namun ini tidak bermakna bahawa anda tidak mampu untuk mengatasinya. Harus diingat, keyakinan tidak sepatutnya tercalar hanya kerana kritikan itu. Anda tidak perlu menekankan diri sendiri, sebaliknya patut menilai orang yang mengkritik anda itu bagi memastikan sama ada dia mempunyai kepakaran atau pengetahuan untuk mengkritik anda.

Sekiranya anda berpendapat bahawa mereka bukan setakat membuat tuduhan kosong, anda harus menganggp kritikan mereka sebagai satu peluang untuk memperbaiki diri. Lupakan sahaja niat untuk mengawal pandangan orang lain terhadap anda. Adalah lebih baik anda memikirkan cara untuk mengawal fikiran dan perasaan anda.

5. Pakaian Yang Sesuai

Jelasnya di sini, pakaian sememangnya perlu dititikberatkan walau ke mana anda pergi. Jika anda tidak pasti baju warna apakah yang hendak dipakai ke tempat kerja, lebih baik anda memilih pakaian yang berwarna lembut.

Pilihlah warna yang sesuai dengan anda dan juga selesa dipakai. Setelah memilih pakaian yang sesuai, anda boleh serlahkannya dengan sedikit warna ceria. Kaum wanita boleh memadankan pakaian dengan skaf atau aksesori yang berwarna-warni manakala kaum lelaki pula boleh memilih tali leher yang berwarna ceria.

6. Nikmati Hidup

Cara anda bekerja sebenarnya dipengaruhi oleh cara anda menikmati hidup. Justeru itu, di luar waktu pejabat, anda harus membahagiakan diri dengan melakukan pelbagai aktiviti yang menari. Walaupun ini tidak ada kaitan dengan kerjaya anda, namun keseronokan ketika menikmati hidup akan memberi semangat kepada anda untuk ‘berperang’ di tempat kerja.

No comments: