Friday, July 3, 2009

PEMBANGKIT SEMANGAT DI PEJABAT


TANPA disedari, pencapaian dalam pejabat turut dipengaruhi oleh perkara-perkara remeh. Misalnya, susun atur meja kerja dan perhiasan meja kerja. Percayalah bahawa kedua-dua perkara tersebut dapat membantu meningkatkan produktiviti anda dalam kerja. Ingin tahu kesan positifnya? Lihatlah penjelasan yang berikut:

 Meletakkan foto atau gambar di meja kerja dapat menguatkan semangat anda untuk bekerja. Setiap orang mempunyai banyak peristiwa yang boleh diabadikan melalui foto sama ada kenangan bersama teman, keluarga, kekasih, isteri ataupun suami tercinta. Kononnya kenangan yang menyenangkan itu dapat memberikan semangat baru dalam kerja anda.

 Letakkan satu akuarium kecil di salah satu sudut meja anda yang bersesuaian. Kehadiran ‘kolam’ ikan di atas meja kerja mampu mewujudkan satu suasana ‘kehidupan’. Percayalah, bentuk akuarium yang mungil, ikan dan perhiasan yang beraneka jenis di dalamnya dapat mengurangkan rasa bosan anda ketika bekerja. Di samping itu, menurut Feng Shui, kewujudan akuarium di atas meja dapat meningkatkan chi (kekuatan hidup).

 Letakkan tanaman hiasan yang ditanam dalam pot kecil di atas meja kerja bagi menyegarkan mata anda. Jangan letakkan tanaman yang memerlukan penjagaan intensif. Pilihlah tanaman yang senang dijaga seperti kaktus, sirih gading atau bonsai.Warna hijau tentu akan memberikan nuansa lain pada mata anda yang penat melihat skrin komputer.

 Hiaskan meja kerja anda mengikut cita rasa tersendiri. Jika anda merupakan seorang pengumpul patung beruang atau perkakas seramik, tidak ada salahnya anda meletakkannya di atas meja. Tapi awas, jangan menghias meja secara keterlaluan sehingga boleh mengganggu perjalanan tugasan seharian anda.

 Tidak tertinggal juga suatu unsur yang tidak kurang pentingnya iaitu muzik! Ia mempunyai pengaruh yang cukup luar biasa untuk menenangkan emosi anda. Namun, agar tidak mengganggu rakan sekerja lain, anda disarankan agar memakai earphone atau headphone.

 Sediakan tisu dan minyak aromaterapi yang beraroma lavender dalam laci meja anda. Sesekali ditengah kesibukan menyelesaikan tugasan seharian, titiskanlah minyak ini pada tisu dan kemudian menghidunya dengan perlahan-lahan.

No comments: