Friday, July 3, 2009

MERANCANG KERJA

Wanita yang berkerjaya sering menghadapi masalah-masalah yang berikut: kerja yang bertimbun-timbun, urusan yang tertangguh, sibuk sepanjang masa, hari-hari yang memenatkan, kerja rumah yang terlepas pandangan dan banyak lagi. Maklumlah, wanita yang berkerjaya bukan sahaja mempunyai peranan di pejabat, malah dialah isteri dialah ibu juga! Dialah ibu juga!

Oleh kerana itu, adalah sangat penting untuk wanita memahirkan diri dengan kaedah mengatur kerja. Kadangkala banyak masa dapat dijimatkan dengan kemahiran seumpama ini. Di bawah ini disenaraikan 10 tips yang boleh anda praktikkan dalam kehidupan.

1. Menyedari Faedah dan Harga Tugasan


Adakah ia benar-benar perlu dilakukan? Berbaloi atau tidak? Ada cara lain yang lebih mudah dan murah? Jangan membazirkan masa, tenaga, wang dan komitmen anda untuk sesuatu yang boleh ditinggalkan. Tumpukan pada utama sahaja.

2. Sentiasa Sediakan ‘Tugasan Anjal’

Tugasan anjal adalah tugasan yang boleh dibuat di mana-mana dan pada waktu apa pun. Contohnya membuat panggilan telefon, menjawab SMS dan sebagainya. Buatlah satu senarai tugasan anjal yang boleh anda lakukan setiap hari dan rujuklah ia dari semasa ke semasa.

3. Jangan Terperangkap Dalam ‘Jerangkap Segera’

Ada banyak perkara jenis Segera Tidak Penting (STP) yang boleh ditangguhkan (atau diabaikan sahaja). Setiap kali anda bertungkus lumus untuk menyiapkan satu tugasan STP, tidak lama kemudian akan datang berpuluh-puluh tugasan STP lain.

4. Tentukan Deadline Sendiri

Jangan bergantung kepada deadline orang lain. Andalah orang yang lebih arif tentang masa anda, jadi kenapa tidak anda tentukan deadline? Dengan berbuat demikian, anda tidak perlu lagi berkejar-kejar deadline.

5. Yang Paling Berbaloi Diutamakan Dahulu

Ini adalah untuk kebaikan anda. Perkataan berbaloi boleh dilihat dari aspek karier, ganjaran, peluang, psikologi dan juga pahala. Jangan menghabiskan masa semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu tugasan yang tidak memberikan sebarang manfaat.

6. Elakkan Kerja Bertimbun

Ia hanya akan berlaku jika anda asyik menangguhkan kerja. Ini tidak bermaksud yang anda tidak boleh menangguhkan kerja. Tetapi jika anda praktikkannya hanya semata-mata untuk ‘melarikan diri’, anda akan ‘lemas’ dalam timbunan kerja yang tertangguh itu. Apabila keadaan ini berlaku, cepat-cepatlah atasinya dengan segera!


7. Usah Bazirkan Masa

Peruntukkan masa yang sepatutnya dan munasabah sahaja untuk setiap tugasan. Belajarlah cara untuk mengawal masa anda daripada dicuri oleh orang lain dan juga anda sendiri!

8. Jangan Menjadi Ahli Sempurna

Jika anda inginkan kesemua tugasan dalam keadaan sempurna dan tersusun, anda akan menghabiskan banyak masa untuk hasil yang tidak seberapa. Sentiasa ingat akan Prinsip Pareto yakni 20% untuk 80% hasil. Jika anda menambah 40% lagi untuk kerja sekalipun, anda Cuma dapat menambah 20% lagi hasil. Jadi, kenapa nak buang masa dan tenaga lagi?

9. Tangguhkan Dulu Yang Sukar

Jika wujud tugasan yang sukar untuk diselesaikan, anda boleh ketepikannya untuk sementara waktu. Mana tahu nanti anda mudah dapat cara penyelesaiannya. Ini merupakan satu contoh penangguhan yang positif. Dengan adanya teknologi yang semakin pesat membangun, segala-galanya boleh berubah dalam masa beberapa saat sahaja

10. Agenda Peribadi Mengelakkan Rasa Bosan


Apakah perkara lain yang boleh anda manfaatkan daripada sesuatu tugasan? Pasti ‘dicelah-celah’ tugasan itu tersembunyi faedah-faedah yang boleh anda perolehi. Tetapi ingat, jangan sesekali menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi. Itu adalah dosa besar. Lakukanlah dengan sah dan jujur.

No comments: