Sunday, June 21, 2009

KPT kenal pasti IPTA cemerlang

JOHOR BAHRU 21 Jun - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang mengenal pasti beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini untuk dijadikan Pusat Kecemerlangan Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin berkata, langkah tersebut sejajar dengan usaha mengangkat pusat tersebut ke peringkat antarabangsa sekali gus melonjakkan nama IPTA berkenaan.

''Sehingga kini, terdapat 200 pusat kecemerlangan di seluruh IPTA di negara ini.

''Apabila dijadikan Pusat Kecemerlangan Kebangsaan, ia akan menghimpun semua cendekiawan sesebuah universiti itu bagi tujuan menjalankan penyelidikan dan penyebaran ilmu terbaru,'' katanya.

sumber:Utusan malaysia

Beliau bercakap kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Pendidikan Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2009 di sini hari ini.

Seminar dwi tahunan itu disertai oleh 270 peserta yang terdiri daripada pensyarah, ahli akademik dan staf UiTM seluruh negara.

Turut hadir Naib Canselor UiTM, Profesor Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah dan Pengarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Prof. Madya Dr. Muhamad Rahimi Osman.

Mohamed Khaled berkata, penganjuran seminar tersebut amat bertepatan dengan perkembangan semasa negara dan saranan Perdana Menteri untuk memperluaskan Pendidikan Islam.

Tambahnya, Pendidikan Islam seharusnya mampu melahirkan para pemikir Islam yang hebat dan membangunkan modal insan yang berguna kepada negara.

Pendidikan Islam itu sendiri, menurut Khaled, sewajarnya memainkan peranan sebagai instrumen terpenting dalam kebangkitan generasi baru yang berhemah, bersahsiah tinggi dan mempunyai kekuatan ilmu dalam menjamin kesejahteraan negara.

''Pendidikan Islam bukan hanya sekadar mengisi ruang kosong dalam kita merangka kurikulum pendidikan di IPTA, ia harus diangkat sejajar dengan ilmu pendidikan lain,'' katanya.
Mengemaskini resume dan persediaan temuduga

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
Resume merupakan dokumen penting yang 'mempromosikan' pengalaman, pendidikan, kemahiran dan kejayaan anda kepada calon majikan.

Malah, resume yang dikarang dengan baik dan lengkap mampu mencerahkan peluang anda untuk maju selangkah lagi dalam usaha pencarian kerja impian.

Elemen asas yang perlu disertakan dalam resume adalah;

1.Kepala (heading) - Nama, alamat penuh (terkini), nombor telefon dan emel.

2.Objektif - Objektif memberi tumpuan kepada resume anda dengan meletakkan jawatan yang anda inginkan, sama ada kategori pelatih, sementara atau sepenuh masa. Ia juga menunjukkan kecenderungan dan sasaran kerjaya peribadi anda.

3.Pendidikan - Mulakan dengan kelayakan akademik terkini termasuk nama kolej atau universiti, ijazah, bidang pengkhususan, tarikh tamat pengajian dan CGPA.

4.Kerja kursus berkaitan - Kursus pra atau pasca ijazah, kertas kajian, seminar dan projek berkaitan jenis kerjaya yang dicari.

5.Pengalaman - Gunakan frasa pendek (bukan ayat) untuk menekankan pengalaman bekerja dan kemahiran digunakan secara dinamik. Sertakan pengalaman termasuk sebagai pelatih, guru sementara, kerja klinikal, sukarelawan dan projek kajian.

6.Lain-lain kategori - Sijil, anugerah, penghargaan, kemahiran berbahasa, tahap literasi komputer, aktiviti luar, kekuatan peribadi, kemahiran teknikal, keahlian profesional, penerbitan.

7.Rujukan - Jangan senaraikan nama rujukan secara individu pada resume anda. Buat senarai rujukan di muka surat baru, sebelum itu dapatkan kebenaran daripada individu terbabit untuk menggunakan mereka sebagai rujukan anda.

Panduan menghadapi temuduga

Setelah puas mencari kerja yang sesuai dan menunggu selama berbulan-bulan, akhirnya anda dipanggil menghadiri temuduga. Inilah masanya anda berdepan dengan bakal majikan dan 'menjual' segala pengalaman, kemahiran, semangat dan kesungguhan yang ada pada diri anda.

Masalahnya, anda hanya mempunyai 15 atau 20 minit untuk meyakinkan majikan tanpa mengetahui apa sebenarnya yang mereka mahukan daripada anda.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diingat untuk membantu anda mengharungi temuduga dengan yakin. Semoga berjaya!

1.Kajian - Lakukan sedikit kajian latar belakang syarikat (lokasi, laman web, jenis industri, perkhidmatan ditawarkan) waktu bekerja, bidang tugas.

2.Berlatih - Dapat bantuan untuk berlatih di rumah dengan kuat untuk meningkatkan keyakinan diri, perbaiki percakapan supaya lebih jelas, tepat dan tidak gementar semasa temuduga sebenar.

3.Berpakaian kemas - Tanggapan pertama majikan terhadap anda adalah sangat penting. Jika temuduga anda untuk kerja pejabat, pilihan terbaik adalah memakai sut konservatif berwarna gelap (lelaki dan wanita). Jika kod pakaiannya lebih kasual (kilang atau tapak pembinaan) pakai sepasang seluar 'slek' dan kemeja berkolar dan tali leher. Sementara wanita, gaun, blaus, seluar atau skirt yang sopan. Tetapi, elak barang kemas terlalu sarat, minyak wangi kuat atau pakaian ranggi.

4.Etiket temuduga - Beberapa aspek penting yang perlu diingati adalah ketepatan waktu, gerak geri (jangan terlalu keras atau gementar), jangan duduk membongkok (memberi gambaran anda seorang pemalas atau tidak berminat dengan jawatan ditawarkan). Kekalkan interaksi mata dengan penemuduga, bercakap dengan sopan, elak slanga atau kata-kata kasar.

5.Bertanya soalan - Jangan cuba mengambil alih tugas sebagai penemuduga, sebaliknya gunakan kajian anda tadi untuk bertanya beberapa soalan tambahan mengenai perniagaan, jawatan, ciri kelayakan dan apa diharapkan daripada calon yang mengisi posisi itu kelak.

6.Nota Terima Kasih - Pastikan anda meluahkan penghargaan kepada pihak majikan kerana memberi anda peluang ditemuduga. Sejurus selepas temuduga, hantarkan nota (kad/surat) mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi meluangkan masa menemui anda.

Kesimpulannya, anda perlu ingat tiga perkara penting sebelum menghadiri temuduga yang bakal mencorakkan kerjaya masa depan anda iaitu; bersedia, profesional dan bersopan untuk memberi tanggapan yang tepat mengenai potensi diri anda.

Sumber:Utusan malaysia
Punca keruntuhan akhlak

Oleh Dr.Amran Kasimin

SOALAN:
Apakah pandangan ustaz tentang masalah sosial yang berlaku sekarang ini?
*HASAN, Seri Kembangan, Selangor.

Jawapan:

Secara sedar ataupun tidak sedar, usaha-usaha kerajaan untuk menaikkan taraf ekonomi rakyat adalah berjaya dan begitu mengkagumkan. Walaupun demikian, saya berpendapat bahawa pencapaian untuk menghasilkan kemantapan pembinaan kerohanian jauh terbelakang berbanding dengan pencapaian ekonomi.

Dalam keadaan seperti sekarang ini, saya tidak beranggapan bahawa menuding menuduh orang lain bersalah, menyebabkan masalah keruntuhan akhlak itu berlaku sesuatu yang baik. Tidak guna bertengkar, menyalahkan orang lain cuai memandu, makan jalan atau tidak memberi isyarat ketika hendak membelok apabila berlaku perlanggaran. Apa yang perlu dilakukan ialah berfikir dan berusaha bagaimana hendak mengalihkan kenderaan yang terlibat agar ia tidak menghalang laluan, kemudian baru berbincang sama ada hendak membuat laporan di balai atau diselesaikan dengan persetujuan.

Punca keruntuhan akhlak adalah saling kait, yang tidak mudah dirujuk kepada satu punca secara khusus. Tidak benar bahawa ibu dan bapa itu sebagai punca utama berlakunya demikian, kerana umumnya tidak ada ibu ataupun bapa yang tidak menyayangi anaknya. Walaupun demikian, tidak dinafikan adanya bapa yang berkelakuan tidak ubah seperti bapak haruan, begitu juga dengan ibu yang tidak boleh dijadikan contoh baik oleh anak-anak, guru-guru, tidak kira sekolah rendah ataupun menengah berusaha untuk mendidik pelajar, tetapi pencapaian akademik tidak semestinya memperlihatkan seorang pelajar itu berakhlak mulia kerana sesetengah orang beranggapan kejayaan dalam bidang akademik adalah segala-galanya.

Selain daripada itu pengaruh luaran kelihatan lebih banyak mempengaruhi anak-anak berbanding dengan usaha ibu dan bapa juga para guru. Bagi anak-anak kecil yang sebelum sekolah, ibu bapa merupakan tempat mereka bersandar, mengadu manja dan begitu patuh. Apabila mereka mula belajar, mula kenal guru dan mempunyai teman yang banyak, mereka sudah ula mengalihkan tempat sandaran kepada guru, dan teman-teman, bergantung kepada keadaan. Semakin dewasa seseorang itu, maka ia semakin terdedah kepada environment luaran dan sekitarnya.

Ketika ini pengaruh-pengaruh luaran itu seolah-olah berlumba-lumba untuk memenangi anak-anak yang sedang membesar tadi. Mana yang kuat ia akan menang. Bagi ibu dan bapa dan keluarga yang prihatin dengan anak-anak, berkemungkinan besar anak-anak itu akan terbentuk dalam keadaan sempurna. Sebaliknya, ibu bapa yang mengabaikan anak-anak, membiarkan mereka berkawan dengan sesiapa yang disukai, berkemungkinan besar anak-anak tadi akan bermasalah apabila dewasa kelak.

Pengaruh luaran ini terus menerus berlumba-lumba mencipta kerektor anak-anak setiap masa. Di rumah, ibu dan bapa menyuruh anak-anak mengaji, sembahyang, membaca buku tetapi di luar rumah, kawan-kawan menunggu mengajak main bola, main basikal tanpa mengira waktu zuhur ataupun maghrib. Mereka akan balik rumah apabila lapar atau malam telah berlabuh. Di televisyen, syarahan-syarahan agama cuba diselit-selitkan pada waktu petang, iaitu ketika anak-anak ini sedang sibuk mandi, tetapi pada waktu malamnya mereka dihidangkan dengan babak orang bercumbu-cumbuan, berpakaian tiga suku telanjang atau gambar orang berpakaian membuka ketiak. Tidak ada statistik untuk memastikan berapa orang yang suka melihat ustaz-ustaz bersyarah agama berbanding dengan mereka yang suka melihat gambar orang bercumbu-cumbuan ataupun perempuan yang memperlihatkan separuh daripada buah dadanya,

renungan

Begitu juga halnya dengan sesetengah surat-surat khabar, yang ada kalanya lebih berkecenderungan memperlihatkan watak-watak, ataupun latar belakang artis ataupun penyanyi sehingga empat lima muka surat termasuk hal-hal peribadi yang tidak boleh dijadikan contoh yang baik atas alasan yang tidak jelas. Semuanya ini perlu difikir dengan serius, jangan terlalu memikiri berapa ribu naskhah majalah laku untuk mengaut untung semata-mata kerana bahan-bahan cetak ini menjadi renungan dan model kepada pembaca, terutamanya anak-anak yang sedang meningkat dewasa.

Ada juga orang yang berpendapat bahawa setiap orang boleh memilih apa yang patut dan baik untuk dilakukan. Untuk menonton filem yang mempamerkan manusia separuh telanjang ataupun menonton forum-forum yang memberi manfaat ataupun syarahan agama. Begitu juga dengan surat khabar, sama ada hendak membaca berita-berita ilmiah ataupun cerita gosip artis kena tangkap basah, artis dituduh merogol, atau yang kena saman kerana memandu tidak mempunyai lesen.

Dalam amalan harian kita akan mempelajari, secara langsung ataupun tidak langsung bahawa manusia itu lebih berusaha mengejar sesuatu yang bersifat fizikal, yang kelihatan dapat dibuktikan, dirasa dan dipertontonkan. Manusia kurang berupaya untuk menimbang tentang sebab musabab dan natijah cetusan daripada perbuatan yang dilakukan, yang menjadi sebahagian daripada budaya hidup mereka.

Hal-hal seumpamalah melahirkan manusia yang lidahnya mengaku keesaan Allah, dan pesuruhnya Muhammad, percayakan pada balasan baik dan buruk di akhirat, tetapi dalam amalannya mereka seumpama tidak mempercayai tentang adanya balasan di akhirat, iaitu balasan nereka bagi mereka yang melakukan kejahatan. Pegangan seumpama inilah yang melahirkan manusia yang lari ataupun melarang orang lain daripada memperkatakan tentang akhirat dan mati, kerana ia hanya akan melahirkan manusia munyuk, mundur dan tidak berupaya memahami kepesatan teknologi moden yang sedang melanda.

Memperkatakan tentang keruntuhan akhlak, kita sebenarnya sering lupakan hakikat diri manusia. Untuk menghapuskan pelacuran misalnya, kita sering menangkap, mendenda dan menghalau keluar kalau mereka orang luar. Penghisap dadah ditangkap dan dipulihkan. Tindakan ini memang yang baik yang memang sepatutnya dilakukan untuk menangani masalah terkini. Cara mengelakkan serangan nyamuk ialah dengan membunuhnya, tidur menggunakan ubat nyamuk, sama ada dengan ubat nyamuk yang menggunakan elektrik ataupun lingkaran tradisional. Mereka yang bersifat tradisional akan pakai kelambu atau pakai ubat nyamuk lengkar. Walaupun demikian, kita seolah-olah lupa, bahawa cara berkesan mengatasi masalah nyamuk ialah dengan membasmi tempat nyamuk itu membiak, di mana persekitaran yang bersih itu amat diperlukan. Bukan dengan cara memukulnya dengan tangan. Begitu halnya dengan usaha-usaha untuk membasmi keruntuhan akhlak, di mana kesedaran beragama, ataupun iman itu perlu dalam usaha yang berkesan untuk membasmi pelbagai gejala keruntuhan akhlak.

Nafsu manusia itu berkecenderungan untuk melakukan sesuatu yang bersifat buruk berbanding dengan kecenderungan untuk melakukan sesuatu yang bersifat baik. Kerana itu kita jangan terlalu berfikir kenapa anak-anak lebih gemar membaca majalah-majalah yang tidak memberi faedah daripada buku pelajaran dan buku-buku bernilai akademik yang membina pertumbuhan akal minda. Atas kecenderungan seumpama ini juga kenapa lebih ramai orang yang lebih suka menonton filem ganas, seks, daripada menonton filem-filem tayangan yang lebih memberi manfaat. Hal demikian sama dengan kecenderungan manusia yang lebih suka berebut-rebut menyerbu konsert-konsert rock, pusat-pusat karaoke, kelab-kelab malam dengan bayaran tinggi daripada menghadiri kelas-kelas agama, majlis ilmu, majlis maulud atau Isra’ Miraj biarpun di majlis tersebut disediakan dua ekor lembu yang dimasak rendang sejak pagi.

resah gelisah

Allah swt menjadikan manusia itu dalam keadaan sentiasa resah gelisah, biar dalam keadaan apa sekalipun, kecuali mereka yang berupaya melakukan sembahyang dengan khusyuk dan diterima di Allah swt sembahyangnya, ketika dirundung malang, mereka mengeluh dan menjadi tamak, kedekut ketika memperoleh kesenangan, kecuali mereka yang sembahyang dan diterima sembahyangnya.

Sembahyang di sini dilambangkan sebagai punca utama segala kebaikan, kerana sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Bererti bahawa orang yang tidak bersembahyang tidak berupaya mencegah dirinya daripada melakukan kejahatan.

Berhubung dengan keruntuhan akhlak, mungkin tidak perlu membuat statistik berapa ramai di kalangan mereka yang merogol anak sendiri, “mendera kanak-kanak”, mereka yang melakukan liwat, minum arak, orang yang suka melakukan zina, ataupun menjadi pelacur melakukan sembahyang. Tidak ada orang yang melacur melanggani dua orang lelaki di malam hari, dan sembahyang subuh dengan khusyuk di pagi hari. Tidak ada orang yang sembahyang zuhur di tengah terik matahari kemudian lepak menusukkan jarum dadah dalam urat lengannya. Andainya ada orang yang melakukan sembahyang asar di petang hari sebelum matahari terbenam, dan menerima rasuah di malam hari, ini bererti, tentunya ada yang tidak kena dengan sembahyang yang dilakukannya.

Sumber: Utusan malaysia
Mempersiap rakyat harungi cabaran 1Malaysia
Oleh Dr Chandra Muzafar

Konsep ilham PM pastikan prinsip Perlembagaan, matlamat Rukun Negara ke arah perpaduan terlaksana

SELAIN kerajaan, semua strata masyarakat Malaysia perlu bersungguh-sungguh dalam merealisasikan transformasi 1Malaysia, dengan merapatkan jurang sedia ada.

Dalam titah Yang di-Pertuan Agong sempena Hari Keputeraan Baginda pada 6 Jun lalu, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru semua rakyat Malaysia menghayati konsep 1Malaysia dan menjadikannya sebahagian daripada kehidupan mereka.

Pada istiadat sama, dalam ucapan tahniah bagi pihak kerajaan, penjawat awam dan rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendukung konsep itu menegaskan dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan negara, konsep 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan, sama ada secara tersurat atau tersirat.

Dalam 1Malaysia sememangnya ada beberapa idea sosiopolitik dalam Perlembagaan yang akan mencorak perjalanan ke arah perpaduan negara yang mempunyai kepelbagaian masyarakat.

Satu daripadanya ialah idea kepelbagaian etnik di Malaysia hari ini berasaskan kepada prinsip kerakyatan yang sama sudah berkembang daripada Kesultanan Melayu dan entiti penduduk Bumiputera lain, menunjukkan bahawa Perlembagaan mengintegrasikan keadaan yang lalu dengan sekarang. Justeru, ada usaha untuk menyeimbangkan hak dan kepentingan bagi pelbagai komuniti.

Oleh itu, ketika Bahasa Melayu menjadi bahasa tunggal kebangsaan, penggunaan dan kajian dalam bahasa lain masih terus dilindungi dalam Perlembagaan walaupun Islam menjadi agama Persekutuan, kebebasan untuk mengamalkan agama lain terus dipertahankan.

Ketika hak istimewa orang Melayu dan penduduk Bumiputera lain disemadikan dalam Perlembagaan, masih ada jaminan kepentingan hak kaum lain. Keseimbangan ini adalah dimensi penting dalam falsafah dan pendekatan kepada perpaduan kebangsaan.

Ia juga diperkuatkan dengan idea ketiga. Perlembagaan mengiktiraf kepentingan prinsip, proses dan institusi yang menjangkaui kepentingan etnik dalam menyatukan negara.

Kesinambungan 1Malaysia tidak terbatas kepada Perlembagaan Malaysia. Rukun Negara dengan komitmen kepada perpaduan kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bertujuan menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum selain menstruktur semula masyarakat.

Begitu juga Wawasan 2020 yang mengungkap 'Negara Malaysia yang bersatu dengan hala tuju yang sama' sebagai cabaran strategik utama daripada sembilan cabaran yang dikemukakan.

1Malaysia adalah siri idea dan visi terkini yang mempromosi perpaduan di kalangan masyarakat yang pelbagai.

Ia penting kerana konsep ini pernah muncul beberapa kali dalam sejarah Malaysia � Rukun Negara dan DEB, 13 tahun selepas Perlembagaan 1957; Wawasan 2020, 21 tahun selepas Rukun Negara serta DEB dan sekarang 1Malaysia, 18 tahun selepas Wawasan 2020.

Satu daripada sebab mengapa kita masih tidak menghampiri objektif dalam membina sebuah bangsa bersatu adalah kerana masih tiada percubaan di kalangan kita untuk mendalami pemahaman serta penghargaan Perlembagaan atau Rukun Negara atau Wawasan 2020.

Oleh sebab itu, hampir 51 tahun negara mencapai kemerdekaan, kelompok besar bukan Melayu menolak untuk mengakui rumpun Melayu sebagai akar kepada identiti negara, walaupun ia menjadi sebahagian daripada landskap politik dan budaya kita.

Memang tidak dinafikan, perlu ada usaha berterusan untuk menghubungkan prinsip Perlembagaan dan matlamat Rukun Negara, ke arah mencapai perpaduan negara di samping kerajaan dan pelbagai pihak juga harus menekankan perkara ini supaya matlamat nasional dapat dicapai.

Rakyat Malaysia sentiasa berharap konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri itu menjurus ke arah membina serta menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini ke tahap lebih konkrit serta dapat memperbaiki segala kekurangan yang timbul ke arah mencapai perpaduan.

Pertama, ada jurang besar yang memisahkan komuniti serta budaya Sabah dan Sarawak dan penduduk dari Semenanjung. Menyatupadukan budaya mereka kepada aliran utama adalah sesuatu yang perlu tetapi bukan menjadi satu syarat yang mencukupi untuk perpaduan negara. Masyarakat di Sabah dan Sarawak perlu juga ditempatkan dalam aliran utama politik serta pentadbiran dengan cepat.

Kedua, wujud juga jurang perbezaan etnik membabitkan segmen penting di antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu di mana kita dapat melihat, menjelaskan sendiri identiti bangsa serta hak sesuatu kaum. Satu pendekatan yang kukuh diperlukan bagi merapatkan lagi jurang yang timbul membabitkan pelbagai etnik.

Ketiga, wujudnya juga peningkatan jurang sosial antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim terutama di Semenanjung. Isu yang menyebabkan perkara ini perlu ditangani secara efektif dan berkesan ke arah memahami agama dalam dunia kontemporari.

Keempat, ada satu jurang memuncak dalam masyarakat kita membabitkan pendapatan dan kekayaan di antara mereka yang 'mempunyai banyak' dan mereka yang 'mempunyai sedikit'.

Kelima, ada satu jurang generasi yang muncul bagi membezakan mereka berumur di antara lingkungan 50-an daripada mereka dalam usia 20-an atau 30-an apabila wujud keperluan untuk berkompromi membabitkan pelbagai komuniti dan kepentingan kestabilan dan perubahan dalam politik Malaysia. Perbezaan sikap ini akan menghakis ke arah usaha untuk memupuk perpaduan negara.

Kerajaan Pusat perlu memainkan peranan utama untuk mengurangkan perbezaan itu. Semua sektor dan strata masyarakat Malaysia juga perlu bersedia dengan sepenuh hati untuk menempuhi cabaran bagi merealisasikan konsep 1Malaysia menjadi realiti. Adakah kita semua sudah bersedia untuk cabaran ini?

# Penulis ialah Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just)

Sumber: Berita Harian
Kekayaan tak bawa bersama kebahagiaan
Oleh Nawawi Subandi


APABILA berkata mengenai bahagia, sudah pasti semua mengimpikannya. Kebahagiaan adalah perasaan yang sangat sukar diungkapkan dan bersifat subjektif. Bahagia selalunya dicapai apabila seseorang itu merasa kepuasan, gembira, kecukupan serta penuh kesyukuran dan keredaan.

Kebahagiaan adalah milik semua. Bahagia tidak hanya dimiliki mereka yang kaya raya dan berharta kerana boleh saja mereka yang kaya raya berasa tidak bahagia serta runsing memikirkan keselamatan hartanya yang bertimbun.

Tidak kurang juga dengan keadaan manusia yang hari-harinya penuh dengan keletihan disebabkan sibuk mengejar harta dan kerjaya. Tiada lagi masa untuk duduk bersama keluarga, isteri mahupun suami. Sehinggakan hubungan cinta menjadi hambar.

Bahagia juga belum tentu dapat dicapai dengan memiliki sebuah kediaman mewah dan indah. Rumah besar itu boleh menjadi penjara baginya yang penuh dengan kesunyian tanpa hiburan. Ibarat seekor burung terkurung dalam sangkar emas.

Bahagia juga belum tentu dimiliki dengan memiliki pasangan suami atau isteri yang tampan dan cantik rupawan kerana ketampanan serta kecantikan itu akan menghilang ditelan waktu.

Antara faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kenikmatan hidup, sekali gus berasa bahagia adalah faktor kesihatan, kecukupan makanan, kasih sayang serta suasana persekitaran. Namun, cukupkah dengan itu saja?

Kebahagiaan belum tentu dapat dicapai hanya dengan berbekalkan harta melimpah ruah, kerja yang lumayan hasilnya, kediaman mewah, serta rupa fizikal yang menawan semata-mata. Bagaimanakah hakikat bahagia yang menjadi idaman manusia?

Jika kembali kepada agama, kebahagiaan itu dapat diraih dan dinikmati oleh mereka yang sentiasa berpegang teguh dengan prinsip agama bagi setiap urusan dilakukan dalam kehidupan mereka. Apabila meletakkan prinsip agama sebagai keutamaan, di sini mereka mengutamakan Allah.

Mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan dan dengannya mereka bersikap qana'ah atau sentiasa berasa cukup serta berpuas hati.

Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa di antara kamu yang berasa aman dirinya, sihat tubuhnya dan cukup persediaan makanan rutinnya pada hari itu, seakan-akan dia sudah diberi semua kenikmatan dunia." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW juga turut menjelaskan bahawa kekayaan itu bukanlah dicapai dengan banyaknya harta menimbun, tetapi ia dicapai dengan kayanya hati. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Kaya itu bukanlah diukur dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya hati." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Orang yang kaya hatinya, dia sentiasa memiliki sifat qana'ah dengan menerima apa yang Allah berikan. Dia sentiasa reda dan berasa puas di atas usahanya. Tidak memiliki rasa tamak untuk mengejar sesuatu dengan berlebih-lebihan tanpa keperluan, tidak rakus mengejar dunia serta tidak pula meminta-minta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Benar-benar beruntung orang yang memeluk Islam, mereka diberi kecukupan rezeki dan qana'ah di dalam menerima apa juga pemberian Allah terhadapnya." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW berpesan supaya sentiasa melihat siapa yang berada di bawah kita dan mereka yang kurang bernasib baik berbanding apa kita miliki, bukannya dengan melihat kekayaan dimiliki orang yang mewah berbanding diri kita.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat kekayaan orang yang di atasmu, perkara itu lebih baik sehingga engkau tidak meremehkan nikmat Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Pesanan Rasulullah SAW itu bertujuan mengajak kita sentiasa bersyukur dengan segala kemampuan dan hasil yang diusahakan serta diperoleh, sekali gus menjauhkan diri daripada berasa kurang bernasib baik dan bersikap tamak.

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan yang baik merujuk kepada kehidupan berkeluarga, iaitu dengan memiliki isteri yang baik, anak dan keperluan berkaitan dengannya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita (isteri), anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Dengan itu, bagi sesebuah keluarga, suami dan isteri hendaklah sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan saling memahami dalam setiap hal ehwal urusan kehidupan. Mereka saling mengerti tugas dan hak masing-masing berdasarkan apa yang digariskan agama.

Setiap pihak sentiasa berusaha memberikan kebahagiaan, keceriaan, ketenteraman, dan kehangatan cinta sesama mereka. Rumah tangga bahagia dibina atas landasan agama, akan membawa pasangan suami isteri berkekalan hingga ke syurga yang penuh kenikmatan.

Ia dapat diraih apabila mereka menjadikan rumah tangga sebagai medan meraih keredaan dan mengejar cinta Allah. Dalam persoalan ini, suami selaku ketua keluarga bertanggungjawab mengemudi keluarga dibinanya menuju kebahagiaan.

Ia dapat dicapai apabila suami sentiasa bergaul, tahu mengambil hati, melahirkan rasa kemesraan, memupuk rasa mencintai dan memenuhi keperluan mereka dengan baik dan sentiasa berusaha membimbing ahlinya kepada perkara dicintai Allah.

Kefahaman agama yang teguh membolehkan keluarga mencapai kebahagiaan kerana berkongsi fokus yang sama, iaitu mencari keredaan Allah. Ia menjauhkan mereka daripada perkara negatif apabila hidup dipenuhi tauhid, kasih sayang, saling mencintai, kesyukuran serta kemesraan.

Antara faktor lain yang mendorong kebahagiaan bagi sesebuah kehidupan adalah seperti digambarkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, isteri salihah, rumah yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan selesa. Dan empat perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah isteri buruk akhlaknya, jiran tetangga jahat, kenderaan buruk serta rumah yang sempit." (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dimaksudkan dengan isteri yang salihah, sudah tentu isteri yang memahami persoalan agama dengan baik, mengamalkan ilmunya (taat) dan sangat komited dengan kedudukannya sebagai seorang isteri.

Rumah yang luas adalah rumah sentiasa terisi dengan sifat qana'ah, aktiviti dicintai Allah, suasana yang tenteram dan ceria serta kemudahan yang baik. Kenderaan yang selesa penting bagi tujuan kelancaran pengangkutan dan hal ehwal urusan serta tugas seharian.

Jiran tetangga yang baik merujuk kepada soal pergaulan dan kehidupan bermasyarakat di atas etika syariat yang betul. Dengan itu, apa yang sebaliknya adalah merujuk kepada unsur yang mampu mendatangkan keburukan, sekali gus jauh daripada nilai sebuah kebahagiaan.

Sebenar-benar kebahagiaan itu adalah kebahagiaan yang dibina di atas keredaan Allah, sekali gus menjamin kehidupan bahagia yang berkekalan sehingga ke akhirat. Firman Allah yang bermaksud: "Orang yang beriman dan beramal salih, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik." (Surah ar-Ra'd, ayat 29)

Sumber: Berita Harian
Melepak, buang masa dibolehkan untuk 5 perkara
Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

GEJALA lepak di kalangan remaja dan warga tua adalah fenomena biasa dalam masyarakat hari ini. Jika remaja semakin ramai mengerumuni kawasan kompleks beli-belah, golongan dewasa pula melepak di kedai kopi atau kedai makan.

Keadaan itu secara tidak langsung menunjukkan kecacatan berlaku dalam masyarakat sekarang kerana remaja sepatutnya sedang sibuk menuntut ilmu, manakala golongan dewasa memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga.

Rasulullah SAW pernah pada satu hari melewati jalan, akhirnya Baginda SAW terserempak dengan sahabat sedang asyik duduk berborak dan melepak di tepi jalan. Melihat kelakuan mereka itu, lalu Rasulullah berkata: “Jangan kamu sekalian berborak dan melepak di tepi jalan.

Tetapi sahabat menjawab: “Wahai Rasulullah! Bagaimana mungkin kami dapat meninggalkan amalan ini kerana hanya di situlah saja kami dapat bercakap-cakap dan berborak sesama sendiri. Kemudian, Baginda SAW memberi pilihan atau jalan keluar daripada amalan itu dengan berkata: “Jika kalian semua tidak dapat meninggalkan kebiasaan itu, maka hendaklah kamu tunaikan hak jalan ini.”

Mereka pun bertanya: “Apakah hak jalan itu wahai Rasulullah? Baginda SAW menjawab: ‘Tundukkan pandanganmu, elakkan diri daripada mengganggu orang lain, menjawab salam dan menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelaslah amalan berborak dan melepak sudah menjadi satu kebiasaan di kalangan sahabat sehingga mereka mengakui sukar untuk membuang tabiat kebiasaan itu. Agenda utama perutusan Rasulullah SAW ialah untuk meluruskan akhlak yang buruk dan keji.

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang bermaksud: “Aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak (yang terpuji), maka sudah tentu Rasulullah SAW bertindak untuk mengubah kebiasaan negatif itu supaya ia tidak membarah dalam masyarakat Islam pada ketika itu.”

Pada masa sama, Rasulullah SAW tidak ketinggalan menawarkan beberapa langkah alternatif kepada sahabat supaya mereka dapat membebaskan diri daripada kebiasaan melepak dan berborak yang hanya membuang masa.

Perkara pertama dianjurkan Rasulullah SAW ialah menundukkan pandangan daripada perkara yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, sekali gus mendatangkan dosa. Dengan kata lain, pandangan mata adalah dilarang sama sekali untuk melihat perkara dilarang seperti aurat atau memandang wanita ajnabi lama-lama.

Rasulullah SAW pernah memberi peringatan sesiapa yang terpandang seseorang wanita secara kebetulan pada kali pertama, maka itu adalah nikmat dari Allah. Sebaliknya, jika dia memandang buat kali kedua disertai gejolak nafsu menyeru ke arah kejahatan, maka perbuatan itu mengundang dosa dan keseksaan api neraka.

Adab pergaulan kedua yang akan menjamin keharmonian sesebuah masyarakat ialah seseorang yang berborak di tepi jalan itu tidak boleh mengganggu orang lain daripada segi perasaannya serta fizikalnya.

Rasulullah SAW pernah menegaskan antara ciri Muslim sejati dalam sabda yang bermaksud: “Seorang Muslim yang sejati ialah orang Islam di sekelilingnya yang berasa selamat daripada lidahnya dan tangannya; seorang Mukmin sejati ialah orang Mukmin di sekelilingnya berasa aman terhadap diri mereka dan harta benda mereka sendiri; dan seorang yang berhijrah dengan sebenarnya ialah seorang yang meninggalkan perkara keji, lalu menjauhinya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Umat Islam dilarang sama sekali daripada melepak dan berborak di tepi jalan hingga menyebabkan gangguan kepada orang lain ter-utama apabila ia menyekat laluan orang ramai atau berlaku aksi menggoda atau mengurat golo_ngan wanita melintas di kawasan itu.

Pendek kata, segala jenis gangguan sama ada secara zahir mahupun batin yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam adalah ditegah sama sekali dalam Islam.

Adab seterusnya yang diiktiraf Islam sebagai pengikat kasih sayang sesama manusia ialah menjawab salam. Menurut Islam,hukum mengucapkan salam adalah sunat, sementara menjawab salam pula hukumnya adalah wajib.

Justeru, apabila seseorang yang sedang berbicara di tepi jalan,tiba-tiba ada mendengar ucapan salam, maka wajib menjawab salam itu. Perintah ini selaras firman Allah yang bermaksud: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Nisa, ayat 86)

Islam amat menganjurkan umatnya sentiasa mengucapkan dan menjawab salam antara satu sama lain. Sebenarnya ucapan salam itu sendiri mengungkapkan makna kedamaian dan keamanan sejagat untuk umat manusia.

Dengan itu, barulah terjalin hubungan yang akrab sesama Muslim apabila saling bertanya khabar, bertukar pendapat dan berita di samping pertemuan seumpama itu menyisihkan jauh segala bentuk perbuatan membangkitkan perasaan yang boleh memecahbelahkan kesatuan ummah.

Akhirnya, adab pergaulan keempat yang menjadi tonggak utama Islam ialah menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Justeru, jika berlaku sebarang amalan negatif yang bercanggah dengan Islam dan etika masyarakat seperti amalan berjudi, menghisap dadah, minum arak dan sebagainya di tepi jalan, maka umat Islam dituntut mencegah kemungkaran itu.

Begitu juga, amalan kebaikan hendaklah disampaikan juga kepada golongan yang berborak dan melepak seperti menasihat ke arah kebaikan, bersama menunaikan solat fardu berjemaah di masjid, membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengajak kepada kebenaran, maka dia sudah mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan pahala sedikitpun juga. Sebaliknya, sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan, maka dia menanggung dosa seperti orang yang mengerjakannya dengan tidak dikurangkan dosanya sedikitpun.” (Hadis riwayat Muslim)

Konsep amar makruf nahi mungkar sewajarnya dihidupkan dalam penghayatan komuniti Islam kini supaya gejala sosial yang memudaratkan dihapuskan di samping masyarakat Islam dapat menikmati keharmonian dan kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat.

Sumber: Berita Harian
Islam gariskan pelbagai panduan bantu umat capai kejayaan
Oleh Ibrahim Abdullah

BANYAK orang tidak selesa menghadapi kesulitan dan kesusahan, tetapi tidak sedikit pula yang dapat bertahan ketika menghadapi kemudahan atau kesenangan. Ada yang bersabar ketika tidak mempunyai harta, tetapi banyak yang tidak dapat mengendalikan diri apabila diberi harta melimpah.

Ternyata harta, pangkat, jawatan, kedudukan yang sering kali dijadikan pengukuran kejayaan, tetapi dalam praktiknya kerap kali menjerumuskan manusia pada jurang kesesatan.

Setiap orang memiliki pandangan berbeza mengenai kejayaan. Pada pandangan Islam, kejayaan bukan apa yang dicapai di dunia saja malah merangkumi persediaan untuk meraih kejayaan berada di hadapan Allah di akhirat nanti.

Kejayaan, sekurang-kurangnya mencakupi empat perkara. Pertama, aktiviti yang kita lakukan menjadi suatu amalan kerana apalah ertinya banyak beramal tetapi tidak mempunyai nilai. Kedua, nama menjadi baik sebaik tingkah laku.

Ketiga, terus menambah ilmu demi kepentingan diri dan disampaikan kepada orang lain kerana tiada guna ilmu jika tidak dimanfaatkan sementara keempat ialah mengeratkan silaturahim. Apabila terjalin silaturahim, semakin ramai yang akan menyukai.

Apabila orang sudah menyukai kita, maka ia akan mengerahkan ilmunya untuk menambah ilmu kita, mencurahkan wawasannya untuk mengembangkan wawasan kita serta memberi tenaga dan hartanya untuk melindungi kita.

Hakikatnya, kejayaan itu milik setiap orang tetapi yang menjadi masalah tidak semua orang tahu bagaimana cara mendapatkan kejayaan. Ada banyak cara untuk mencapai kejayaan dengan syarat kita bersedia melakukannya iaitu:

1.Beribadah dengan benar dan telus. Ibadah adalah asas daripada niat yang kita lakukan. Siapapun yang ingin membangun kejayaan, ia harus memperbaiki ibadahnya terus menerus. Allah berjanji akan menolong orang yang ibadahnya baik dan bernilai.

2.Berakhlak baik kerana akhlak yang baik adalah bukti daripada beribadah yang benar dan betul. Apapun yang kita lakukan, jika dilandaskan dengan akhlak yang buruk nescaya akan berakhir dengan kebinasaan.

3.Tidak jemu belajar memandangkan hanya ilmu pengetahuan yang boleh membawa kita kepada kejayaan. Bagaimana mungkin kita menanggapi situasi yang terus berubah dengan ilmu yang tidak bertambah.

4.Bekerja kuat dengan cerdas dan ikhlas. Curahan keringat tidak selalunya sama dengan kejayaan. Berfikir cerdas adalah sebahagian daripada kerja kuat dan gigih. Pada prinsipnya, suatu hasil akan diraih apabila kita mampu menerapkan ibadah, akhlak dan ilmu dalam pekerjaan yang berkualiti.

5.Bersahaja dalam hidup, bukan membiarkan diri menerima keadaan hingga sanggup hidup dalam kemiskinan tetapi bersahaja untuk mengendalikan diri supaya tidak diperhambakan oleh keinginan dan hawa nafsu.

6.Saling membantu dan pada masa sama membersihkan hati daripada penyakit yang boleh menjurus kepada nilai negatif. Keadaan itu akan membuatkan amalan tidak bernilai, tidak indah lagi di dunia dan tidak berkat untuk akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Pada hari ketika harta dan anak tidak bermanfaat, kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang selamat sejahtera.” Surah asy-Syu'ara (ayat 88-89).



Hidup yang tertib, disiplin teratur akan membuat kita beroleh kejayaan. Jika bersungguh-sungguh menyempurnakan ikhtiar mencapai apa dihasratkan dengan izin Allah akan menghasilkan kejayaan.

Adapun bentuk pertolongan Allah itu, hanya Dia yang Maha Mengetahui. Mungkin pertolongan itu berupa kesanggupan untuk semakin mengenal kemampuan diri sendiri sebenarnya kerana kita diciptakan dengan bakat yang ada dalam diri.

sumber: Berita harian