Jalan-Jalan Keberkatan
MANUSIA memang mencari keberkatan. Kerana keberkatan memberikan kepuasan. Kepuasan pada hati sehingga mententeramkan jiwa, melegakan emosi dan menenangkan minda. Tanpa keberkatan, maka manusia tidak merasa lega dan puas. Bak mereguk air laut kala dahaga, makin diminum makin haus jadinya.
Allah SWT menyatakan yang bermaksud: Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: 'Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun'. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Baqarah: 155 - 157)
Betapa bertuahnya orang Islam, kerana Allah SWT telah memberikan suatu cara bagi mendapat berkat pada harta. Bahkan, ia membuka jalan keberkatan pada hidup dan keluarga. Itulah namanya sedekah, infak dan zakat. Berkat pada zakat misalnya, amat besar kesannya.
Ia bisa menatijahkan kesejahteraan yang berpanjangan walau di mana sahaja kita berada. Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya harta itu manis lagi menawan. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar, diberkati padanya," (Sebahagian hadis Riwayat Ahmad)
Berkat pada zakat ibarat baja pada pokok. Fungsi baja menyuburkan pokok, agar pokok yang ditanam hidup subur, tegak menjulang ke langit dan akarnya kuat mencengkam bumi. Dahannya kukuh dan rantingnya tidak rapuh. Daunnya subur hijau merimbun dan meneduhkan. Paling akhir, pokok itu akan berbunga dan berbuah lebat, masak meranum dan mengenyangkan ramai orang.
Maka, demikianlah fungsi zakat pada harta manusia. Zakat memberikan kesuburan kepada harta. Kesuburan dalam bentuk yang tidak nampak lahiriahnya, namun ditandai dengan pelbagai perkara. Harta kita tidak cepat rosak, tahan bertahun lamanya diguna. Ia juga memberikan manfaat kepada ramai orang.
Harta-harta kita juga terselamat daripada nafsu rakus manusia, tidak dicuri dan disamun. Bahkan harta itu juga dapat membawa kita kepada jalan mendekati Allah SWT; bukan sebaliknya. Rasulullah SAW pernah memperihalkan harta dan keberkatannya. Kata nabi: "Kawallah keselamatan harta benda kamu dengan benteng- benteng zakat". (riwayat Abu Daud)
Terdapat beberapa kaedah yang tepat untuk beroleh berkat pada harta, iaitu:
lMemastikan harta yang diperoleh itu menerusi jalan yang halal lagi berkat. Ini kerana jika jalannya halal namun tidak menjaga syariat yang lain, misalnya sengaja membuka aurat atau meninggalkan solat, maka rezeki itu halal tetapi tidak berkat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. (al-Baqarah: 168)
lMemastikan amanah harta ditunaikan secara sepatutnya. Amanah harta antara lain ialah menyalurkannya kepada tanggungan kita yang berhak, misalnya kepada ibu bapa dan anak isteri. Amanah harta juga ialah memastikan ia tidak disalah guna, misalnya dibelanjakan ke meja judi atau membeli keseronokan duniawi semata-mata. Infak, zakat dan sedekah juga adalah amanah harta.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (ali-'Imran: 92)
lMenunaikan hak yang wujud pada harta dengan ikhlas tanpa riak dan sombong. Ini kerana, Allah SWT amat membenci golongan yang memberi tetapi hatinya diselaputi rasa sombong, perasaannya penuh riak dan mengharapkan pujian daripada orang.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri. (an-Nisa': 36)
Sudah jelas kepada kita, bahawa Islam mendidik kita agar berhemah dalam kehidupan. Anjuran Islam sama ada supaya kita suka berderma, bersedekah, berinfak dan berzakat, hakikatnya adalah demi kebaikan kita kembali. Ini kerana, itu adalah jalan menuju kesejahteraan hakiki.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah. (al-Lail: 5 - 7)
Maka, terpulanglah kepada kita cara untuk mengambil keberkatan itu. Petunjuk sudah di hadapan, tinggal kaki melangkah membuat pilihan. Wallahua'lam.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment