Laksanakan keadilan sosial
Oleh ABDULLAH MD. ZIN
Konsep Satu Malaysia yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menimbulkan semangat baru kepada banyak pihak di Malaysia terutama mereka yang berada dalam arus perdana. Bagaimanapun, kita tidak dapat nafikan, ada suara keraguan dan kebimbangan sesetengah pihak kerana mereka khuatir hak mereka akan terjejas atau diabaikan.
Begitu juga pihak parti pembangkang telah memberikan reaksi negatif dengan tafsiran yang keterlaluan dan gambaran yang bukan-bukan terhadap gagasan baru ini.
Pada hari pertama Sidang Parlimen pada 15 Jun lalu, Najib menegaskan dengan cukup jelas bahawa gagasan Satu Malaysia amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan digantikan dengan satu identiti nasional baru.
Begitu juga gagasan ini berbeza daripada konsep Malaysian Malaysia yang diamalkan oleh parti pembangkang kerana konsep berkenaan tidak bertunjangkan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya, menurut beliau, Satu Malaysia secara tersurat dan tersirat kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, 4, 152, 153 dan Bahagian 2 serta 3 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Seterusnya Najib memberitahu formula Satu Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan teras-teras perpaduan dan nilai-nilai aspirasi.
Antara teras-teras perpaduan ialah penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia. Kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara dan ketiga, keadilan sosial.
Dari perspektif undang-undang, telah wujud peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama persekutuan dan agama-agama lain.
Peruntukan ini amat jelas sekali memberi kekuatan kepada agama Islam yang tidak boleh dicabar kedudukannya dan dalam masa yang sama memberi perlindungan kepada agama-agama lain, ia boleh diamalkan dalam keadaan aman dan damai.
Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan itu amat tepat dengan sejarah pembangunan tamadun Islam sejak zaman Rasulullah SAW di Madinah dan Khulafa' al-Rashidin sehingga ke zaman kegemilangan Islam di Eropah yang telah membuktikan pembangunan akidah dan syariah yang kuat bagi umat Islam di samping menghormati penganut-penganut agama lain dan amalan mereka seperti Yahudi, Kristian dan lain-lain.
Sejarah membuktikan bahawa pada zaman pemerintahan Islam di Madinah serta di zaman para sahabat, keadilan diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan budaya.
Dalam al-Quran, banyak ayat yang menyuruh umat Islam supaya berlaku adil dan melarang kezaliman. Perkataan adil disebut dalam al-Quran sebanyak lebih 20 kali, di antaranya Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. (Surah al-Maidah, ayat 8).
Ayat tersebut mewajibkan umat Islam supaya berlaku adil dalam semua urusan mereka, sehinggakan kepada musuh pun digesa supaya berlaku adil.
Selain keadilan dalam bidang kehakiman, keadilan sosial juga dituntut ke atas umat Islam supaya melakukannya kepada semua individu dalam masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan budaya. Setiap anggota masyarakat hendaklah mendapat keperluan asas mereka seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, peluang mendapat pelajaran dan pekerjaan.
Keadilan sosial bukanlah bererti membasmi kemiskinan sehingga ke akar umbinya supaya tidak wujud lagi dalam masyarakat. Perkara ini bercanggah dengan sunnah alam kerana kemiskinan dan kekayaan adalah dua hakikat yang wujud di dunia ini. Yang kaya dan yang miskin ada tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Yang kaya membantu yang miskin manakala yang miskin pula berterima kasih kepada yang kaya dan tidak melakukan huru-hara dalam masyarakat. Dengan itu, suasana harmoni dan perhubungan yang baik dapat diwujudkan dalam masyarakat.
Antara faktor penting yang telah dianjurkan oleh Islam bagi mewujudkan keadilan sosial dalam masyarakat ialah saling bekerjasama (ta'awun) antara anggota masyarakat. Masyarakat Islam perlu didirikan di atas dasar tersebut sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam melakukan dosa dan perseteruan. (Surah al-Maidah, ayat 2).
Begitu juga antara faktor penting bagi mewujudkan keadilan sosial ialah perhubungan yang baik antara sesama anggota masyarakat sebagaimana sabda Rasullah SAW yang bermaksud: Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih sayang, bantu membantu dan silaturrahim seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu kesakitan, maka seluruh tubuh akan ikut berjaga malam dan demam.
Kasih sayang, bantu membantu dan silaturrahim adalah asas penting dalam keadilan sosial.
Perhubungan yang baik antara individu dalam masyarakat yang terdiri daripada orang kaya, orang miskin, orang tua, orang muda, pemerintah dan rakyat adalah amat penting dalam mewujudkan keharmonian dan kerukunan.
Begitu juga Islam menekankan kemesraan dan berbaik sangka serta sifat sedia membantu di kalangan anggota masyarakat sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia suka kepada saudaranya seperti yang ia suka bagi dirinya, dan sabdanya lagi yang bermaksud:
Allah menolong seseorang hamba selama hamba itu menolong saudaranya.
Dari huraian di atas, jelas menunjukkan bahawa keadilan sosial bukanlah satu slogan kosong yang mengajak supaya menyamakan semua anggota masyarakat, tetapi apa yang dimaksudkan dengannya ialah menyamakan mereka dalam kesempatan dan peluang untuk mengembangkan prestasi dan potensi.
Oleh itu, keadilan sosial dapatlah ditakrifkan sebagai "kerjasama untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu, setiap anggota masyarakat mempunyai kesempatan dan peluang yang sama untuk berkembang sesuai dengan kemampuan masing-masing."
Islam sentiasa menganjurkan supaya berlumba-lumba berbuat kebajikan dalam masyarakat sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak menyumbang kepada sesama manusia.
Oleh itu, aktiviti sosial adalah aspek yang penting dalam hidup berjemaah dan semangat kerjasama merupakan amalan yang perlu dipupuk supaya ia berkembang dalam masyarakat.
Dalam masyarakat Malaysia sekarang, kita dapati kerja-kerja amal kurang diberi tumpuan oleh masyarakat sama ada di peringkat individu atau organisasi. Kalau kita bandingkan dengan aktiviti keagamaan yang bercorak ibadat khusus, kita dapati ramai yang berminat.
Dalam al-Quran dan al-Sunnah banyak ayat dan hadis yang memberi galakan supaya kita membuat kebajikan dalam masyarakat. Malah ia merupakan suatu tanggungjawab sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, ruku'lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhan kamu, dan buatlah kebajikan supaya kamu dapat kemenangan." (Surah al-Hajj, ayat 77).
Begitu juga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kamu kiranya aku memberitahu kamu tentang amalan yang lebih utama dari puasa, solat dan sadaqah?" (yakni sunat). Sahabat menjawab "Kami mahu wahai Rasulullah," lalu Baginda bersabda: "Iaitu amalan atau usaha membaiki hubungan yang terputus antara dua pihak yang bertentangan (berkonfrantasi), kerana keburukan perpecahan itu adalah pencukur."
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda: "Aku tidak berkata ia pencukur rambut, tetapi ia pencukur agama" (menghapuskan roh persaudaraan Islam).
Sebenarnya, kerja-kerja sosial boleh digunakan sebagai media dakwah, ia suatu cara berkesan untuk memenangi hati masyarakat.
Kalau kita menyingkap sejarah hidup Rasulullah SAW dan para sahabat, mereka dikenali sebagai para dermawan dan baik hati. Mereka melibatkan diri dengan membuat kebajikan dan memberi pertolongan kepada orang ramai. Oleh itu 'kebajikan' dan 'khidmat' amat penting dalam kerja-kerja kemasyarakatan.
Kita hendaklah mendekati dan memberi pertolongan kepada orang yang berada dalam kesusahan dan kesempitan, anak-anak yatim dan remaja yang terlibat dengan berbagai-bagai gejala sosial.
Kita janganlah terlalu terpesona dengan theoretical dialogue tentang keadilan sosial yang serba ideal, tetapi kita seharusnya menterjemahkan ideal-ideal Islam dalam masyarakat melalui kerja-kerja kemasyarakatan di tengah-tengah lapangan.
DATUK DR. ABDULLAH MD. ZIN ialah Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri.
Sumber: Utusan malaysia
Sunday, June 21, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment