Sunday, March 8, 2009

Rasulullah contoh ikutan ummah


KELAHIRAN Rasulullah SAW adalah umpama cahaya yang menyinari kegelapan malam. Kebangkitan Rasulullah sebagai utusan Allah berjaya memimpin dan membimbing umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam.

Rasulullah bukan saja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata bahkan baginda sendiri menunjukkan contoh seperti dikehendaki Islam.

Segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki Allah untuk dicontohi oleh umat manusia.

Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah.”

Firman Allah ini dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa Rasulullah adalah contoh ikutan terbaik untuk kita bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Dengan kata lain, Rasulullah adalah role model bagi kita umat Islam. Pada diri Rasulullah itu terletak contoh remaja yang baik, pemimpin, bapa, suami, jiran, peniaga dan sahabat yang baik serta banyak lagi. Pendek kata, kita selaku umat Islam tidak perlu mencari-cari peribadi atau tokoh lain untuk dicontohi dan diikuti selain daripada Rasulullah.

Umat Islam dibekalkan dengan contoh keperibadian yang terbaik yang merangkumi segenap aspek iaitu Nabi Muhammad.

Sikap sesetengah umat Islam yang mengambil individu tertentu sebagai model ikutan adalah sesuatu yang mendukacitakan. Mereka mengambil pemimpin yang zalim dan penyanyi Barat sebagai contoh ikutan.



Model

Apa yang lebih memilukan ada yang menjadikan golongan yang memuja maksiat dan bergelumang dengan najis dadah dan jenayah sebagai contoh ikutan mereka. Sedangkan semua itu bukan mengajak mereka kepada kebaikan tetapi mendorong mereka kepada kebinasaan dan kelalaian semata-mata.

Walau sehebat mana sekalipun manusia itu, mereka tetap tidak dapat menandingi Rasulullah yang sentiasa mendapat jagaan dan peliharaan Allah. Sahabat pernah bertanyakan kepada Saidatina Aisyah mengenai akhlak Rasulullah. Dia menjawab: “Akhlak Rasulullah adalah al-Quran.”

Jawapan itu dengan jelas menerangkan betapa Rasulullah SAW menjadikan al-Quran itu sebagai sesuatu yang hidup yang dapat dilihat dan diikuti bukan saja oleh umat Islam bahkan oleh sekalian umat manusia. Oleh demikian, segala ajaran dan perintah Allah yang terdapat di dalam al-Quran dapat kita lihat secara praktikalnya sama ada menerusi hadis yang diriwayatkan oleh periwayat hadis yang muktabar ataupun melalui sirah Nabi Muhammad.

Oleh itu, segala contoh ikutan yang ingin diambil oleh umat Islam sama ada sebagai pemimpin, ketua keluarga, majikan, pendidik, pelajar, tokoh korporat dan sebagainya semuanya ada di dalam diri Rasulullah.

Dengan itu, memperbetulkan kembali model ikutan kita dengan menjadikan Rasulullah sebagai role model adalah satu kewajipan dan tuntutan agama yang perlu dilakukan oleh kita umat Islam.

Rasulullah SAW dibangkitkan oleh Allah untuk memimpin umat manusia di dunia ini ke jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Baginda SAW adalah rahmat daripada Allah yang tidak ternilai harganya kepada alam semesta ini.

Sebagai seorang Rasul yang diutuskan, darjat ketinggiannya mengatasi pemimpin yang lain. Baginda bersifat maksum iaitu terpelihara daripada melakukan kesalahan dan kesilapan.

Maka kerana itu arah dan tujuan yang dibawanya untuk seluruh umat manusia ini adalah benar dan terjamin. Baginda memimpin umatnya ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT iaitu agama Islam.

Kini Baginda SAW sudah tidak ada lagi di dunia ini, tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan pusaka tinggalannya iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Melalui dua sumber ini umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.

Rasulullah adalah contoh dan model unggul umat Islam. Kredibiliti dan ketrampilan baginda terserlah sebagai seorang bapa mulia, suami mithali, dan pemimpin adil .

Oleh yang demikian, bacalah dua contoh di bawah sebagai pengajaran. Contoh teladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah berkenaan kehidupannya untuk kita jadikan panduan serta ikutan dalam mengisi dan mempertingkatkan keimanan kita bagi memperoleh darjat taqwa yang diharap-harapkan.

Maka untuk itu, dibentangkan sebahagian dari bimbingan dan teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW khasnya berkenaan perkara-perkara berikut:



Model Rasulullah

ketika remaja

Rasulullah SAW sejak remaja lagi dikenali kerana mempunyai akhlak yang sangat mulia, berbanding dengan remaja lain yang hidup sama pada zamannya sehingga beliau diberi gelaran ‘al-amin’.

Zaman remaja Rasulullah walaupun kehilangan ayah dan bonda ketika masih kecil tidak mencacatkan akhlak baginda kerana baginda telah dipelihara Allah SWT .

Zaman remaja Baginda penuh dengan dugaan dan latihan sebagai persediaan bagi memimpin umat manusia. Contohnya Baginda dibawa berniaga oleh bapa saudaranya Abu Talib. Di sini diperlihatkan bagaimana kejujuran Rasulullah ketika berniaga sehingga mendapat keuntungan yang berlipat ganda.

Baginda juga pernah menjadi pengurus perniagaan Siti Khadijah yang mencatatkan keuntungan yang banyak dengan cara berniaga penuh bijaksana.



Rasulullah dalam kehidupan berumah tangga

Rasulullah SAW memperlihatkan suatu teladan yang baik untuk diikuti oleh seseorang suami dalam mengurus rumah tangga. Sebagai seorang suami Rasulullah SAW amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya.

Banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila mahu makan Baginda makan apa-apa makanan yang sedia ada saja. Rasulullah SAW sangat marah kepada suami yang memukul isterinya seperti memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud:

'Tidakkah seseorang dari kamu rasa malu untuk memukul isterinya seperti dia memukul hambanya? Pada waktu pagi memukul isterinya kemudian waktu malam menidurinya pula'.

Di samping itu Rasulullah SAW menunjukkan panduan dan contoh hidup tolong menolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri, Rasulullah SAW juga menunjukkan suatu teladan yang baik khususnya kepada mereka yang mempunyai isteri yang lebih dari seorang.

Seperti diketahui umum bahawa Rasulullah SAW mempunyai beberapa orang isteri yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur. Ada yang masih muda dan cantik, dan ada yang sudah berumur. Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW tidak sekali-kali bersikap pilih kasih dalam layanan kasih sayang antara mereka.

Masa dan giliran mereka dibahagikan dengan adil serta cukup rapi sekalipun dalam masa Baginda sakit. Apabila Rasulullah SAW. hendak musafir, Baginda menjalankan undi antara isteri-isterinya itu dan hanya yang terkena undi saja yang berhak bersamanya.



Akhlak Rasulullah dengan jiran

Islam sangat memandang berat mengenai masalah berjiran di kalangan masyarakat umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya.

Islam memberikan perhatian yang sungguh berat ke arah menjalin hubungan yang baik dan harmoni di kalangan masyarakat sesuatu tempat.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW memberi panduan dan ajaran kepada umat Islam supaya mengelakkan diri dari segala sesuatu yang boleh mencetuskan rasa kurang baik sesama jiran. Dalam salah satu sabdanya, Rasulullah SAW menerangkan:

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasai selamat dari kejahatannya.”

Kesimpulannya, Rasulullah SAW adalah manusia paling sempurna untuk dijadikan teladan umat manusia bagi mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat.

Sumber:Berita Harian

No comments: