Sunday, March 8, 2009

Laksana pesanan Rasulullah



UMAT Islam perlu bermuhasabah diri dan kembali kepada sunah Rasullulah SAW dalam usaha mengelakkan perpecahan sesama saudara seagama.

Firman Allah dalam surah At Taubah ayat 128 bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul daripada kaummu sendiri, terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang yang mukmin.

Ayat ini menunjukkan bagaimana Allah SWT memuji peribadi Nabi Muhammad SAW yang begitu prihatin membimbing dan menyelamatkan umat manusia daripada pelbagai kesulitan di dunia serta keselamatan mereka di akhirat.

Dan hari ini kita mengingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Tetapi persoalannya apakah kita hanya sekadar menyambutnya begitu sahaja tanpa mahu mengkaji dan mengamalkan segala sunah, perintah dan wasiatnya?

Dalam sebuah hadis, Rasullullah SAW bersabda: Saya memberikan wasiat kepada kamu semua supaya bertakwa kepada Allah dan mendengar serta mentaati penguasa, sekalipun yang memerintah kamu semua itu adalah hamba sahaya. Sebenarnya sesiapa yang hidup sepeninggalanku akan melihat dan menemui pelbagai macam perselisihan. Oleh itu, tetaplah kamu semua memegang sunahku dan sunah para khalifah yang memperoleh petunjuk yang baik-baik sesudah aku nanti. Gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi taringmu sesudah aku nanti (yakni berpeganglah sekuat-kuatnya). Jauhilah olehmu semua perkara yang baru dibuat-buat (yang disebut bidaah), sebab sesungguhnya bidaah adalah sesat.

Demikianlah pesan Rasullullah SAW. Namun cubalah kita merenung keadaan umat Islam sekarang, apakah segala yang dipesan atau diwasiatkan oleh Baginda dilaksanakan?

Hakikatnya, dari semasa ke semasa kita menyaksikan umat Islam terutamanya mereka yang terlibat di dalam politik semakin jauh menyimpang daripada sunah Baginda. Satu demi satu perlanggaran dilakukan hanya semata-mata untuk kepentingan diri atau kelompok masing-masing.

Rasullullah SAW meninggalkan segala-galanya untuk pedoman hidup umat Islam bagi membolehkan kita mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Malangnya kita semakin melalaikan apa yang ditinggalkan oleh Baginda.

Kita terlalu asyik mengejar segala yang terbentang di dunia fana ini biarpun Baginda sudah berpesan bahawa dunia ini hanyalah satu persinggahan. Kesudahannya umat Islam berhadapan dengan seribu satu masalah.

Umat Islam berpecah sesama sendiri hanya kerana kuasa dan kedudukan, umat Islam menjadi mundur kerana tidak menguasai ekonomi manakala semakin banyak rumah tangga umat Islam menjadi kucar-kacir.

Ini belum lagi termasuk soal masalah sosial yang terus membelenggu generasi muda terutamanya pemuda pemudi Islam. Segala keburukan yang melanda umat Islam sekarang adalah disebabkan kegagalan kita mencontohi Rasullullah SAW sama ada dalam soal politik, sosial mahupun ekonomi.

Kita sebaliknya lebih selesa bertelagah sesama sendiri semata-mata kerana kuasa malah lebih malang lagi ada kelompok Islam yang bersekongkol dengan bukan Islam untuk menjatuhkan pemimpin Islam.

Walaupun Rasulullah SAW sudah berpesan bahawa umat Islam itu bersaudara seperti mana sabda Baginda yang bermaksud: Janganlah kamu semua saling memutuskan hubungan, jangan saling membenci, jangan saling mendengki dan jangan saling bermusuhan. Jadilah kamu semua itu hamba-hamba Allah sebagai saudara. Tidak halal bagi seorang Muslim jikalau sampai meninggalkan yakni menyeterui saudaranya lebih daripada tiga hari.

Tetapi malangnya ada antara kita sengaja melupakan ingatan ini. Kesudahannya berlaku permusuhan sesama Islam yang akhirnya hanya melemahkan umat Islam itu sendiri.

Keadaan itu memberikan kesempatan kepada puak-puak tertentu untuk terus melagakan umat Islam akibat perbezaan politik dan ia menjadi bertambah buruk apabila ada pemimpin yang mengaku dirinya Islam terus mengatur strategi bagi melemahkan kuasa politik yang diterajui oleh pemimpin Islam yang lain.

Akibatnya, umat Islam tidak mampu menumpukan perhatian bagaimana hendak menjana kekuatan bagi memperkuatkan ukhuwah sesama mereka dan seterusnya muncul sebagai umat yang dihormati.

Walaupun ada kelompok ulama yang seharusnya bertindak menyatukan ummah tetapi antara mereka sendiri kadang-kala berbalah dalam isu-isu tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan dan pertelingkahan di kalangan umat Islam sendiri.

Oleh itu sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, marilah kita bersama-sama bermuhasabah dan mengkaji secara mendalam segala wasiat-wasiat yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW. Hentikanlah pertelingkahan sesama kita dan bersatulah dalam silaturrahim Islam. Ini bersesuaian dengan sabda Baginda yang bermaksud:

Muslim yakni orang Islam itu adalah saudara Muslim, tidak boleh menganiayanya dan tidak boleh membiarkannya (jikalau dianiaya orang lain). Barang siapa yang suka menolong hajat saudaranya, maka Allah akan menolong hajatnya. Barang siapa yang melapangkan kepada sesama Muslim sesuatu kesusahan daripada sekian banyak kesusahan di dunia, maka Allah akan memberikan kelapangan kepadanya suatu kesusahan dari sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.

Umat Islam tidak akan mendapat apa-apa jika mereka terus mengabaikan segala pesanan Rasulullah SAW. Baginda sudah meninggalkan panduan yang terbaik untuk kita bagi menjalani kehidupan di alam fana ini.

Kepada pemimpin-pemimpin Islam dan para ulama, hentikanlah perbalahan sesama sendiri. Bimbinglah para pengikut masing-masing ke arah kesejahteraan dan bukannya permusuhan.

Janganlah menjadi penghasut sehingga umat Islam membenci antara satu sama lain. Umat Islam akan terselamat jika kita mengikut sunah Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan.

Ketika ini ramai di antara kita hanya bijak melafazkan perkataan "contohi, teladani dan ikutilah sunah Rasulullah" tetapi mereka sendiri tidak mengamalkan apa yang dikatakan itu.

Oleh itu sudah sampai masanya dalam keadaan umat Islam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran ini, kita kembali mengingati pesanan-pesanan Rasullullah SAW.

Umat Islam akan menjadi umat terbaik kerana Islam itu agama yang paling lengkap dan mulia. Inilah yang sudah dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis tetapi malangnya kita sengaja tidak menyedarinya.

Bagaimanapun dalam menyatukan antara umat Islam, jangan pula kita bermusuh dengan pihak bukan Islam.

Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah Al Mumtahanah ayat 8 bermaksud: Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Semoga sambutan Maulidur Rasul kali ini tidak dibiarkan berlalu dengan sia-sia. Selain kita memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW, marilah kita merenung dan mengamalkan semua suruhan Baginda.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments: