Friday, June 19, 2009

Peluang dapat kerja



PETALING JAYA 19 Jun - Berita gembira kepada penganggur.

Sebuah syarikat latihan kemahiran dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia menganjurkan program 'Latih dan Tempat' untuk memberi peluang pekerjaan kepada mereka yang belum mempunyai pekerjaan tetap.

Program selama tiga bulan yang akan dikendalikan oleh Vihethi Training & Consultancy (M) Sdn. Bhd. itu bertujuan membantu penganggur mendapatkan pekerjaan selain menyediakan mereka dengan kemahiran yang dikehendaki oleh majikan.

Ketua Konsultan syarikat tersebut, Dr. E. Pathepen berkata, program itu adalah satu cara untuk memberi peluang kepada pekerja yang telah diberhentikan kerja dan graduan yang menganggur untuk mendapatkan pekerjaan.

''Masalah pengangguran menjadi antara isu utama dalam negara jadi dengan adanya program seperti ini yang dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Sumber Manusia, ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengubah nasib.

''Program ini terbuka kepada semua pekerja yang telah diberhentikan dan masih menganggur serta graduan lepasan diploma dan ijazah,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Pathepen berkata, program itu akan dijalankan di tempat latihan mereka di Petaling Jaya bermula 1 Julai ini dengan fokus pada dua modul utama iaitu Rantaian Bekalan dan Logistik serta Pengurusan Stor dan Inventori.

''Bagi penganggur yang diberhentikan kerja dan mempunyai kelulusan sekurang- kurangnya diploma, mereka akan mengikuti modul Rantaian Bekalan dan Logistik manakala untuk penganggur yang tidak mempunyai kelulusan pula perlu mengikuti modul Pengurusan Stor dan Inventori.

''Kepada graduan baru pula, mereka perlu mengikuti kedua-dua modul tersebut,'' katanya.

Keterangan lanjut mengenai program tersebut boleh menghubungi Vihethi Training & Consultancy (M) Sdn. Bhd. di talian 03-79572422 atau melalui emel, enquiry@vihethi.com.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan kursus itu, peserta akan mengikuti kelas yang diadakan pada bulan pertama dan dua bulan seterusnya melakukan latihan di syarikat-syarikat yang dipilih.

''Jika mereka menunjukkan prestasi yang bagus semasa latihan, kemungkinan mereka diserap bekerja adalah tinggi,'' tambahnya.

Selain itu, kata Pathepen, mereka yang menyertai program itu akan diberikan elaun oleh Kementerian Sumber Manusia sebanyak RM500 kepada orang bujang manakala RM800 bagi yang sudah berumah tangga.

Justeru itu, beliau menyeru dan berharap penganggur akan menyertai program tersebut kerana ia banyak memberi kelebihan kepada mereka.

''Pendaftaran adalah percuma, elaun diberikan kementerian setiap bulan, sijil disediakan dan peluang pekerjaan dalam pelbagai industri menanti peserta, jadi memang berbaloi kepada penganggur untuk menyertainya,'' ujar beliau.

sumber :utusan malaysia

No comments: