Showing posts with label kesihatan. Show all posts
Showing posts with label kesihatan. Show all posts

Saturday, March 7, 2009

Stres baik untuk anda?

Stres yang positif boleh membuatkan seseorang lebih berhati-hati, fokus dan kreatif dalam kehidupan harian.

RESAH dan cepat marah adalah antara tanda-tanda seseorang mengalami stres. - Gambar hiasan

SEORANG ibu membawa anak lelakinya yang berusia tujuh tahun menemui doktor pakar setelah anaknya mengalami demam berpanjangan sejak memasuki tahun satu sekolah rendah baru-baru ini.

Sebelum itu, doktor yang merawat anak lelakinya memberitahu bahawa dia bebas daripada penyakit yang serius.

"Setiap kali saya bawa anak ke klinik atau hospital, mereka (doktor) hanya bagi ubat untuk demam. Ujian darah pula menunjukkan tiada apa-apa penyakit," kata ibu tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimah.

"Anak anda normal. Mungkin dia stres kerana masih belum dapat menyesuaikan diri di persekitaran baru sekolah," itulah antara kata-kata pakar kanak-kanak tersebut kepada Rahimah semasa sesi rawatan di kliniknya.

Menurut pengasas teori stres, Dr. Hans Selye, stres merupakan satu gejala tindak balas yang tidak spesifik oleh individu terhadap beban yang datang dalam bentuk keresahan yang disebabkan cabaran, ancaman atau perubahan yang memerlukan respons.

Bertentangan dengan persepsi orang ramai, stres boleh dibahagi kepada stres yang baik atau positif yang dikenali sebagai eustress dan yang buruk atau negatif, distress.

Seorang pegawai perubatan di sebuah institusi kesihatan di Kuala Lumpur, Dr. S. Mogan berkata, stres yang positif boleh membuatkan seseorang lebih berhati-hati, fokus dan kreatif dalam kehidupan harian.

STRES merupakan satu gejala tindak balas yang tidak spesifik oleh individu terhadap beban yang datang dalam bentuk keresahan. - Gambar hiasan

Katanya, sejarah telah membuktikan perkara itu apabila Alexander Graham Bell berjaya mencipta telefon iaitu satu alat yang mencetuskan revolusi dalam bidang perhubungan, ketika beliau mahu membantu tunangnya yang hilang pendengaran.

Menurut Dr. Mogan, memang sukar untuk memberi definisi mengenai stres kerana ia suatu aspek yang subjektif.

"Kalau anda tanya 10 orang tentang apa yang menyebabkan mereka berasa stres, maka anda akan mendapat 10 jawapan yang berlainan.

"Sebabnya, tiada definisi tentang stres yang dipersetujui semua. Apa yang stres bagi seseorang mungkin perkara yang menyeronokkan atau tiada apa-apa bagi orang lain.

"Contohnya, penunggang motosikal akan berasa gembira apabila dapat memecut kenderaan mereka, tetapi bagi orang lain, ia satu perkara yang menakutkan. Memenangi perlumbaan mungkin lebih stres daripada kalah tetapi itu juga merupakan stres yang baik," kata beliau.

Sementara itu, seorang pendidik, Fatimah Mansur berkata, stres mampu melonjakkan produktiviti seperti ketika pelajar menghadapi peperiksaan.

"Pelajar berusaha lebih keras apabila peperiksaan hampir tiba manakala pekerja di pejabat akan bekerja lebih cepat bila waktu pulang sudah dekat," kata beliau.

Tambahnya, orang ramai perlu mendapat stres yang sesuai untuk produktif dalam kehidupan seharian.

"Anda boleh guna dan gembleng stres untuk menjadi lebih produktif," ujarnya.

Menurut risalah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, antara punca stres ialah beban kewangan, masalah rumah tangga, menunggu terlalu lama, mangsa buli, beban kerja yang tinggi, suasana persekitaran yang tidak sihat, rasa rendah diri, kesesakan jalan raya, dan tragedi.

Seseorang yang mengalami stres akan menunjukkan kegelisahan, risau keterlaluan dan gangguan emosi, insomnia (tidak dapat tidur), kurang fokus terhadap tumpuan kerja serta resah dan cepat marah.

Mereka digalakkan mengambil 10 langkah B iaitu bertenang, bernafas dengan dalam, berkata rileks, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut dan berehat, mendengar muzik, beriadah, bersenam dan berfikiran positif. - Bernama

Wednesday, February 25, 2009

Sarapan Pagi Penting Kepada Pelajar Dan Remaja (Majalah Cahaya 2006)
Oleh : Aminuddin Mansor

SARAPAN PAGI PENTING KEPADA PELAJAR DAN REMAJA

Oleh: Aminuddin Mansor



Sarapan atau alas perut, makanan pagi amat penting dalam kehidupan. Sarapan bagai baja kepada kehidupan tumbuhan. Begitulah juga manusia yang memerlukan sarapan pada setiap pagi.



Terdapat pelbagai kerenah manusia terutama remaja yang berada di bangku sekolah tentang tabiat bersarapan pagi antaranya:



· Sebilangan besar remaja tidak bersarapan pagi sebelum ke sekolah. Mereka hanya bersarapan jam 10 pagi pada waktu rehat di sekolah.

· Pemilihan makanan untuk sarapan hanya kepada makanan yang digemari dan bukan kepada makanan yang berkhasiat.

· Sarapan pagi tidak mengandungi karbohidrat seperti roti dan bijirin yang boleh merangsang fungsi otak.

· Sarapan pagi tidak diikuti dengan minuman seperti susu, milo atau minuman lain yang berkhasiat.

· Sarapan pagi sesuatu yang asing dan ganjil bagi mereka yang tidak pernah melakukannya antara jam 7.00 hingga 9.30 pagi.



Fenomena remaja kita hari ini yang tidak bersarapan pagi ke sekolah dianggap perkara biasa. Mereka akan berasa tidak selesa apabila bersarapan pagi. Sebenarnya, sarapan pagi tidak perlu terlalu berat, cukup sekadar segelas susu, sekeping roti atau sedikit bijirin.



Otak atau minda sangat memerlukan sarapan pagi bagi merangsang pemikiran ke arah pembelajaran yang lebih cemerlang di sekolah. Sarapan pagi dikatakan dapat mencergaskan minda jika dijadikan sebagai rutin harian yang penting untuk kehidupan yang lebih berkualiti.



Pakar pemakanan sependapat bahawa mengambil sarapan adalah sumber pertama untuk memulakan kehidupan seharian, sekali gus mencergaskan minda. Kajian terbaru menunjukkan orang yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan yang lebih baik.



Pemilihan sarapan terutamanya yang kaya dengan karbohidrat, membekalkan tenaga, mampu menahan rasa lapar dan mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah hari.



Malangnya, ramai yang meninggalkan sarapan dengan alasan tiada selera makan pada waktu pagi atau tidak sempat kerana bangun lambat. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, ada baiknya anda terus membaca untuk mengetahui rahsia di sebalik hidangan ringkas yang dipanggil sarapan.

Ada saintis yang menggelar sarapan sebagai makanan untuk otak. Kajian menunjukkan sarapan ada kaitan rapat dengan kecergasan mental. Secara ringkasnya, sarapan dikatakan memberikan kesan positif terhadap aktiviti otak – lebih cergas, peka dan fokus.



Ini secara tidak langsung mendatangkan pengaruh positif terhadap diri individu itu untuk melaksanakan tugasnya, sama ada di sekolah atau di tempat kerja; walaupun hanya mengambil sarapan sekeping roti dan secawan kopi.



Karbohidrat yang diambil pada waktu pagi akan merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak. Contohnya, vitamin B yang diperkaya dalam roti dan bijirin sarapan dikenal pasti mampu memberikan kesan positif kepada fungsi otak.



Kesan lebih ketara dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengambil sarapan yang kaya dengan karbohidrat kompleks ialah mereka boleh menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan menyelesaikan masalah dengan baik. Justeru, tidak hairan jika pengusaha roti dan bijirin berlumba-lumba menghasilkan produk yang diperkaya dengan pelbagai khasiat dan vitamin.



Kajian yang dijalankan Food Facts Asia dengan kerjasama empat universiti di Asia ke atas remaja berusia 10 hingga 12 tahun yang mengamalkan sarapan rata-rata jauh lebih langsing dan kurang berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan.



Bahkan, kajian di Amerika Syarikat ke atas 3,000 sukarelawan menunjukkan mereka dapat mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul dengan hanya mengamalkan sarapan.
Peliharalah mata anda



MATA adalah salah satu organ manusia yang sangat berharga kurniaan Tuhan yang membolehkan kita melihat. Sistem penglihatan yang sempurna ini akan berkurang sedikit demi sedikit apabila meningkatnya usia.

Walaupun ini adalah perkara biasa dalam penuaan, masih terdapat antara kita yang kurang prihatin dalam penjagaan mata, terutamanya mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Terdapat beberapa penyakit dan gangguan mata yang dikaitkan dengan proses penuaan. Dengan adanya teknologi yang sering berkembang hari demi hari, penglihatan yang sempurna dan terang dapat dinikmati oleh semua golongan di hari tua.

Sayangnya, banyak yang berpendapat bahawa tiada bantuan dapat diberikan kepada masalah mata berkaitan dengan penuaan.

Salah satu gangguan mata yang sering berlaku ketika penuaan ialah presbiopia, yang bermula di kalangan mereka dalam lingkungan 40 ke 50 tahun.

Hasil dari penuaan, kanta mula hilang keanjalannya, menyukarkan untuk memfokus jarak dekat seperti aktiviti membaca.

Tetapi presbiopia boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata untuk membaca atau cermin mata dengan bifocal, trifocal atau kanta (tanpa garis) progresif.

Penuaan mata juga menyebabkan kanta mata menjadi lebih tebal dan kuning iaitu pembentukan katarak awal.

Perubahan ini mungkin akan memberi kesan kepada persepsi warna dan ketajaman penglihatan.

Apabila mata melalui proses penuaan, anak mata menjadi semakin kecil, menyebabkan keperluan kepada lebih cahaya untuk melihat dengan jelas.

Terdapat juga beberapa situasi lain yang membolehkan kehilangan penglihatan, antaranya degenerasi makula, glaukoma, katarak dan retinopati diabetis.

Perkara yang paling penting di dalam penuaan mata adalah untuk menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk memastikan kesihatan mata dan pengesanan awal sebarang penyakit mata.

Berikut merupakan beberapa persoalan yang sering menjadi persoalan di kalangan pesakit:

1. Apakah faktor yang mempengaruhi kesihatan mata seseorang?

- Terdapat dua faktor utama iaitu faktor genetik dan faktor alam sekitar di samping tabiat pemakanan dan tabiat merokok seseorang.

Faktor genetik menentukan sama ada seseorang itu mengalami rabun, katarak pada umur awal, degenerasi makula dan penyakit mata lain manakala tabiat merokok pula amat mempengaruhi kesihatan mata.

2. Bagaimanakah cara terbaik untuk menjaga kesihatan mata dan mencegah kebutaan ketika umur meningkat?

- Cara terbaik adalah dengan menjaga pemakanan dengan banyak memakan ikan dan sayuran serta makanan kesihatan dan mengelakkan merokok sejak usia muda.

Seperkara lagi bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas, harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan penyakit mata berbahaya yang mungkin tidak mempunyai gejala, seperti kekaburan.

3. Apakah peringkat umur yang harus menjalani pemeriksaan secara berkala oleh pakar mata?

- Mereka yang sihat tubuh badan dan berumur kurang daripada 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata setiap dua tahun dan setelah berumur 40 tahun, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun.

Jika seseorang mengidap kencing manis atau darah tinggi, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun walaupun berumur kurang daripada 40 tahun.

4. Kenapa mereka yang berumur 40 tahun ke atas harus menjalani pemeriksaan mata setiap tahun?

- Apabila anda berumur 40 tahun, risiko untuk mendapat penyakit mata meningkat. Penyakit mata yang berbahaya mungkin menyebabkan kebutaan termasuklah glaukoma, degenerasi makula dan katarak.

Semua penyakit ini tidak mempunyai gejala pada peringkat awal dan hanya dapat dikesan oleh pakar mata.

Pemeriksaan mata juga mungkin mengesan penyakit kencing manis dan darah tinggi melalui perubahan pada salur darah mata dalam keadaan berkenaan.

5. Apakah risiko untuk seseorang berumur lebih 40 tahun mengalami masalah gangguan penglihatan?

- Statistik menunjukkan sebanyak satu pertiga daripada mereka yang berumur 40 tahun ke atas mengalami masalah mata.

Pakar mata harus mengesan penyakit mata sebelum berlaku kebutaan yang kekal. Adalah tidak bijak untuk menunggu sehingga ada masalah sebelum menjalani pemeriksaan mata.

6. Apakah yang dilakukan ketika pemeriksaan mata oleh pakar mata?

- Pemeriksaan mata sepenuhnya mengambil masa 30 minit di mana sejarah kesihatan anda dan keluarga anda diteliti terlebih dahulu.

Pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan menggunakan berbagai alat untuk menentukan struktur mata anda sihat.

Tekanan mata juga diperiksa untuk menentukan anda tidak mengidap glaukoma. Gambar retina anda akan diambil untuk dokumentasi dan sebagai rekod status saraf mata dan retina anda.

Otot mata anda juga diperiksa untuk menentukan otot bergerak dengan sempurna. Refraksi dilakukan untuk menentukan keperluan anda untuk memakai cermin mata dan adakah cermin mata yang digunakan sesuai.

Setelah pemeriksaan dilakukan, pakar mata akan menerangkan kepada anda status mata dan memberi nasihat yang perlu untuk menjaga kesihatan mata anda.

7. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang merokok dan kesihatan mata?

- Saya sering berjumpa pesakit, selalunya lelaki, yang berumur kurang dari 40 tahun yang merupakan perokok tegar dan mengidap katarak pada kedua belah mata.

Terdapat juga di kalangan perokok yang mengalami degenerasi makula yang menyebabkan kebutaan kedua belah mata pada peringkat umur melebihi 65 tahun.

Mereka selalunya menyesal tetapi keadaan mata telah teruk dan mereka menjadi buta untuk selamanya dan rawatan yang mahal hanya dapat memulihkan sedikit sahaja penglihatan mereka.

8. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang lambat berjumpa pakar mata?

- Terdapat pesakit yang datang lewat hanya setelah mereka benar-benar tidak dapat melihat lagi.

Ini sering berlaku kepada pesakit kencing manis. Mereka menjadi buta dengan cepat dan walaupun dirawat, penglihatan hanya dapat dipulihkan dengan sedikit sahaja.

Semua warga Malaysia melebihi 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan sebarang masalah yang wujud dari peringkat awal dan mencegah kebutaan.

Jika keluarga anda mengalami masalah mata, kencing manis, penyakit serius atau pun memakan ubat yang mungkin mempunyai kesan ke atas mata, mereka seharusnya menjalani pemeriksaan mata yang sepenuhnya.

Sumber: Utusan Malaysia